So basically, ada tiga buah novel yang bakal dikeluarkan oleh Buku Prima untuk bulan Oktober 2014. Biar Mereka Cemburu dari A. Darwisy, Pilihlah Aku dari Dhieya Adlynna, dan Dia Si 'Katak Puru' dari Farrah Izzlorna ( Akulah tu hehe) . Aku sebenarnya kurang mengikuti sangat perkembangan novel tanah air ni sebab dua tiga tahun kebelakangan ni aku memang jarang gila beli novel. Last novel yang aku beli pun adalah Aku Kan Novelis! karya Nurul Syahida. Tu pun sebab aku suka dengan pekerjaan watak utama novel tu yang rasa dekat sangat dengan diri aku (walaupun impian aku untuk bergelar novelis time tu tersekat gara-gara manuskrip aku ditolak huhu).
Tapi bila aku buat research, aku mendapati A. Darwisy dan Dhieya Adlynna ni dah memang ada nama dalam penulisan novel dan dah menghasilkan beberapa buah novel yang ada di antaranya menjadi viral. Kalau nak dibandingkan dengan aku yang baru setahun jagung ni, memang macam langit dengan bumilah kan. Tapi tak apa, think positive! Manalah tau bila buku aku terbit sekali dengan buku mereka nanti, aura mereka terlekat kat buku aku dan membawa tuah juga hahaha.
Di bawah ni aku ada sediakan sinopsis dari tiga buah novel seperti yang disebutkan di atas. Sebagai adik yang baru nak bertatih, aku merelakan novel aku berada di bawah sekali hehe.
Tajuk: Biar Mereka Cemburu
Penulis: A. Darwisy
Terbitan: Buku Prima
Sinopsis
Nadia, satu-satunya konduktor bas di KL ini yang kalau dirapikan penampilannya, pakai cantik-cantik, agaknya berduyun-duyun lelaki yang jatuh cinta. Tetapi dalam kesederhanaannya itu jugalah, dia masih berjaya menambat hati dua orang jejaka. Seorang pemandu bas dan seorang lagi anak tengku. Bukan main lagi kan? Dia keliru. Hendak memilih cinta yang mana satu sedangkan hendak bercinta pun dia tidak tahu!
Rostam, pemandu bas yang malu tapi mahu orangnya. Punyalah berat mulut hendak meluahkan perasaan kepada konduktor basnya sendiri. Apabila datang kekuatan dalam diri untuk berterus-terang, datang pula pesaing yang membuatkan dirinya rasa tercabar. Dia perlu cepat melafazkan kata-kata cinta tetapi sempatkah dia? Tapi jangan tak tahu, dia juga ada peminat fanatiknya sendiri. Tiap-tiap hari mengajaknya kahwin! Perempuan berani mati yang sanggup terjun bas apabila dia menolak cinta perempuan itu. Dahsyat!
Iedil, anak tengku, lelaki yang punya segala-galanya. Termasuklah kekasih hati. Tetapi entah bagaimana, boleh pula dia berkenan dengan konduktor bas seorang ini. Sampai sanggup naik bas tiap-tiap hari ke tempat kerja semata-mata mahu berjumpa dengan si konduktor cantik ini. Tapi bukan senang! Sebab dia kan sudah ada kekasih hati. Aduh, macam mana ni?
Pitam!!! Di sana menanti, di sini menunggu. Di kota Paris, Nadia membuat istikharah. Jangan main-main, istikharah di Paris! Kau mampu?
Tajuk: Pilihlah Aku
Penulis: Dhieya Adlynna
Terbitan: Buku Prima
Sinopsis
Hidup Ainul Husna bertukar rentak selepas menyelamatkan Muhammad Fattah. Dia diburu dan setiap gerak-gerinya diperhatikan. Ainul Husna resah. Dia bukan artis popular. Bukan juga anak orang kaya. Dia hanyalah pekerja kedai kek kecil sahaja. Kemuncaknya, dia diculik hanya kerana mahu dihadiahkan dengan pelbagai jenis barangan berjenama. Dunia sudah jadi gila atau dia sebenarnya yang sudah gila?
Sangka Muhammad Fattah, jiwanya kembali tenang jika dia membalas budi Ainul Husna. Tetapi lain pula yang berlaku. Jiwanya semakin tidak tenteram. Hadiah-hadiah daripadanya ditolak tanpa banyak bicara. Ternyata dia silap perkiraan. Ainul Husna berbeza dengan gadis yang selalu mendampinginya.
Tanpa sedar, niatnya untuk membalas jasa baik Ainul Husna sudah bertukar haluan. Dan sekarang, dia nekad mahu merebut sekeping hati milik gadis itu. Dia tidak peduli jika gadis itu menolaknya. Sekali dirinya ditolak, berkali-kali dia sanggup mencubanya.
Ainul Husna pula semakin buntu. Apa yang harus dilakukan agar Muhammad Fattah tidak terus mendekati dirinya yang sudah bergelar tunangan orang? Siapa pilihan Ainul Husna? Tetap setia pada tunangnya ataupun cintanya akan beralih arah pada Muhammad Fattah yang keras kepala dan mempunyai kekasih keliling pinggang?
Tajuk: Dia ‘Si Katak Puru’
Penulis: Farrah Izzlorna
Terbitan: Buku Prima
Sinopsis
Berkomunikasi melalui telefon, Ariana a.k.a Ria pada mulanya mempunyai persepsi buruk terhadap lelaki itu yang dipanggilnya ‘katak puru’. Tetapi setelah mengenali lelaki yang tidak diketahui wajahnya itu, Ariana berubah hati. Namun, segalanya berubah akibat satu kemalangan. Ariana menyalahkan diri, lalu dia tidak menghubungi Firdaus lagi.
Pertemuan semula di kedai makan meresahkan Ariana. Firdaus selalu mendekatinya, seakan-akan tahu dia menyimpan rahsia. Sudahlah Nazrul a.k.a Hitler, sepupu Firdaus merangkap bosnya asyik menuduh Ariana ada skandal dengan bapanya. Kemalangan ‘mentega kacang’ membuat Firdaus merangka idea gila. Diberitahunya semua orang mereka pasangan kekasih. Dan selagi Ariana tidak berterus-terang, mereka akan terus kekal dalam kepura-puraan itu.
Adakah Ariana akan berterus-terang tentang identitinya sebagai Ria? Atau cinta pura-pura antara Firdaus dan Ariana akan terus kekal selamanya? Dan adakah Nazrul akan terus bermusuhan dengan Ariana, atau takdir yang berlainan sedang menanti mereka?
Jadi aku berharap, korang suka bila baca sinopsis ni dan akan support karya-karya di atas. Arigato gozaimas!




