Friday, 13 June 2014

Sekali Ini Saja 24



 ‘’SAYANG!’’
          Pagi-pagi lagi Firdaus telah menjadi tetamu tidak diundang di dalam pejabatku.Sebenarnya bukan satu perkara yang luar biasa pun sebab memang setiap pagi dia akan ‘bertapa’ di dalam bilikku terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam pejabatnya sendiri. Tabiat ini sudah menjadi satu kelaziman sejak kami diisytiharkan ‘couple’ dua minggu yang lalu,sampai aku sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk menghalaunya keluar setiap kali dia melangkah masuk ke dalam bilikku dan memulakan pertanyaan-pertanyaan caringnya yang bagiku memualkan itu.
          ‘’Sayang dah makan ke?’’
          ‘’Semalam lepas balik kerja sayang buat apa?’’
          ‘’Sayang nampak letih saja. Tak cukup tidur ke?’’
          ‘’Masa cuti nanti kita keluar date nak? How about going to I-City?’’
           Tak cukup dengan itu,dia juga sering bercerita padaku tentang kehidupannya. Apa yang dia suka,apa yang dia tidak suka,apa yang dia lakukan hari-hari, dan sebagainya. Sampai kadang-kadang aku rasa tak larat nak mendengar semua cerita itu kerana semua yang diceritakan oleh Firdaus itu sudah kuketahui semasa kami berbual-bual melalui telefon dulu.
          Namun pagi ini,Firdaus muncul dengan kelainan kerana kali ini dia tidak muncul dengan tangan kosong, sebaliknya bersama sejambak bunga mawar di tangannya.
         ‘’Untuk kekasihku yang tersayang!’’ Kata Firdaus tersenyum manis seraya menghulurkan bunga itu kepadaku.Aku memandang bunga itu pelik.
         ‘’Apa ni?’’ Soalku tanpa menyambut hulurannya itu.
         ‘’Bunga!’’
         Aku menarik nafas. ‘’ Aku tahulah bunga,tapi kenapa kau bawa ke sini?’’
         ‘’Untuk dihadiahkan pada wanita paling cantik di hadapan Fir nilah.’’
         Aku tersenyum sinis.  ‘’ Daripada kau susah-susah beli bunga ni untuk aku,kau bagi duit yang gunakan untuk beli bunga ni kat aku lagi bagus. Aku ni tak suka bunga. Bukannya aku tahu jaga pun. Tak sayang duit betul kau ni.’’
        ‘’Tak apa,demi sayang,bukan setakat wang ringgit,nyawa Fir pun sanggup Fir korbankan.’’ Ujar Firdaus sambil meletakkan tangan di dadanya. Aku rasa hendak ketawa melihat apa yang dia lakukan tetapi cuba kutahan.
        ‘’Anak orang kaya,bolehlah cakap macam tu. Bukannya kau tahu macam mana susahnya nak cari duit sampai boleh membazir-bazir macam ni.’’ Sindirku selamba.
        ‘’Alah sayang ni,tak sportinglah.Nak bagi hadiah sikit pun tak boleh.’’ Rungut Firdaus seraya duduk di hadapanku.  ‘’Nak tahu tak,Fir beli bunga ni guna duit gaji Fir,hasil titik peluk Fir sendiri. Dan untuk pengetahuan sayang juga,ni pertama kali Fir beli bunga untuk perempuan. Ingatkan sayang akan suka,tapi tak pasal-pasal Fir pula yang kena marah.’’
        Aku membuat memek muka kasihan. Dengan tujuan untuk memerlinya.
       ‘’Alololo,kasihannya. Maaflah ya sebab merosakkan percubaan pertama kau tu. Mungkin kau lupa agaknya,aku ni tak macam perempuan lain yang pernah kau kenal tu,yang akan suka semua perkara sweet yang kau lakukan ni.Jadi apa kata macam ni. Kau lupakan sajalah segala hal boyfriend-girlfriend antara kita ni,terangkan pada semua orang bahawa kita sebenarnya tak ada apa-apa hubungan,dan kemudian kau cari perempuan lain yang boleh jadi teman wanita yang sebenar,kemudian korang berkahwin,ada anak,dan hidup bahagia selama-lamanya. Macam mana,hebat tak future planning yang aku dah rangka untuk kau ni?’’
        Firdaus merenung ke arahku. Sangkaku dia memang betul-betul memikirkan apa yang kukatakan apabila dia hanya berdiam diri,tetapi harapanku musnah apabila Firdaus menepuk-nepuk tangannya.
       ‘’Hebat! Memang hebat rancangan yang sayang dah rangka tu. Tapi,Fir ada cadangan yang lebih baik lagi. Apa kata sayang berterus-terang saja dengan Fir tentang segala-galanya yang sayang berusaha sangat sembunyikan daripada Fir,dan lepas tu tanpa sayang suruh pun dengan sendirinya Fir akan tamatkan semua ni.Lebih senang dan menjimatkan masa,kan?’’
       Ahh! Aku menelan air liur. Sekali lagi Firdaus cuba memerangkap aku. Firdaus tersenyum apabila melihat aku yang terus terkelu. Dia bangun dan berdiri betul-betul di sebelahku seraya berbisik di telinganya.
      ‘’Sayang tahu tak,sikap sayang yang macam nilah yang membuatkan Fir semakin tertarik untuk mengenali sayang. Sayang tak perlu risau. Fir tak akan paksa sayang untuk beritahu Fir,sebab Fir yakin bahawa Fir akan dapat tahu juga semua jawapan kepada persoalan-persoalan Fir selama ini. Dan sementara itu,bersabarlah ya.’’ Firdaus menepuk-nepuk bahuku. Sebelum keluar, Firdaus sempat lagi berpesan.
      ‘’By the way sayang,you will look much more prettier if sayang tak ikat rambut sayang tu dan biarkan saja ia lepas terurai. Believe me.’’
      ‘’Thanks but no thanks lah.’’ Ejekku. Firdaus langsung tak terasa, sebaliknya dia mengeyitkan mata lalu keluar. Aku mendengus. Kau takkan tahu apa-apa Firdaus,sebab aku takkan sesekali membenarkannya!
      Aku mengambil tas tanganku serta beberapa dokumen penting. Hari itu aku harus pergi melawat ke tapak projek dan membuat laporan. Kalau aku melengah-lengahkannya nanti mengamuk pula Hitler itu.
       Aku aku melihat pula bunga mawar yang terletak elok di atas mejaku sejak tadi. Mula-mula aku ingat aku nak buang saja bunga pemberian Firdaus itu,tetapi bila fikir-fikir balik terasa membazir pula. Tengok sekilas pandang pun dah tahu yang bunga itu mahal harganya. Rasa-rasanya lebih baik aku berikan saja bunga ini kepada Nadia. Dia kan memang suka bunga-bunga semua ni. Tambah pula kalau dia tahu bunga ini adalah daripada Firdaus,mesti dia akan jadi bertambah gembira,fikirku.
          Aku mengambil bunga itu dan bercadang untuk singgah di pejabat Nadia sebentar untuk menyerahkan bunga itu kepadanya.Lagipun takkanlah aku nak mengusung bunga itu pulang ke rumah nanti. Naik bas pula tu. Telahku dalam hati.
         Sementara menunggu kereta syarikat tiba,aku menanti di lobi. Memang sejak aku dinaikkan pangkat sebagai pengurus projek,Tengku Yusrizal membenarkanku menggunakan kereta syarikat untuk pergi ke tapak projek atau ke mana-mana atas urusan kerja. Dan aku bersyukur kemudahan yang disediakan untukku itu tidak ditarik balik setelah tunjang pengurusan syarikat itu diambil alih oleh Nazrul. Kalau tidak,memang susah jugalah aku mahu menjalankan kerjaku.
         ‘’Ariana?’’
         Aku menoleh. Terkejut juga aku apabila melihat Alia yang sedang tersenyum manis ke arahku. Pertemuan itu sememangnya tidak pernah kujangka sama sekali sejak kali terakhir kami berjumpa di rumah Tengku Yusrizal dahulu.
        ‘’Oh,hai Alia.Tak sangka kita akan berjumpa lagi dekat sini.’’ Ujarku berbasa-basi.
        ‘’Tulah,tadi bila I sampai I tengok you sorang-sorang saja dekat sini,sebab tulah I datang tegur ni. You tengah tunggu siapa kat sini?’’
        ‘’Saya tengah tunggu kereta,nak pergi melawat tapak projek.’’ Terangku serba ringkas.
        ‘’Oohh,macam tu.’’ Alia mengangguk-ngangguk.
        ‘’Awak pula,buat apa datang ke sini?’’ Soalku seraya melihat penampilan Alia dari atas ke bawah. Hari ini Alia tidak berpakaian seksi seperti kebiasaan,sebaliknya dia memakai pakaian formal dengan skirt separas lutut. Kelihatannya dia datang ke situ bukan atas urusan peribadi,sebaliknya urusan kerja.
         ‘’I datang ni sebab nak jumpa bos kesayangan you tulah,Tengku Nazrul. Nak bincang hal kerja sikit dengan dia. Untuk pengetahuan you,tak lama lagi syarikat papa I dengan Cemerlang Holdings ni akan menjalankan satu usahasama. Jadi kiranya I lah yang menjadi wakil syarikat papa I.’’ Beritahu Alia ramah.
         ‘’Bos kesayangan?’’ Aku tersenyum sinis. ‘’Perkataan tu macam tak tepat saja digunakan.’’
         ‘’Kenapa? Hubungan you dengan Nazrul masih keruh ke?’’ Soal Alia terkejut. ‘’Takkanlah korang tak berbaik-baik lagi? It’s been over a month right.’’
         ‘’Saya tak kisah pun. Lagipun memang sejak dari dulu lagi hubungan kami tak baik.’’ Balasku ringkas. Malas nak bercerita panjang lebar tentang keretakan hubungan yang terjalin antara aku dan Nazrul yang bagaikan tiada penghujungnya itu.
         ‘’You tak payahlah ambil hati sangat dengan sikap Nazrul tu. Walaupun kadang-kala dia tu suka terlepas cakap,tapi hatinya baik.’’ Ujar Alia,mungkin cuba mengambil hatiku semula. Aku hanya tersenyum,tanda menghargai kata-katanya itu.
         Alia merenung jambangan bunga mawar yang dipegangku.
         ‘’Nice flowers. Siapa yang bagi?’’
         ‘’Rakan sekerja saya.’’ Balasku. Malas aku nak menyebut nama pemberi bunga itu.
         ‘’Someone special?’’ Soal Alia lagi seraya tersenyum-senyum padaku.
         ‘’Eh,tak adalah. Kami tak ada hubungan apa-apa pun.’’ Aku menidakkan andaian Alia.
          ‘’Kalau tak special,takkanlah dia boleh bagi you bunga mawar yang secantik ini. Beritahu sajalah siapa. I kenal ke orang tu?’’ Alia masih tidak berputus asa untuk mengetahui siapakah empunya diri yang memberikan bunga itu kepadaku. Perangainya yang satu itu persis seperti Nadia. Patutlah mereka boleh bergaul dengan begitu baik sekali walaupun baru pertama kali bertemu dulu.
          ‘’Sebenarnya,Firdaus yang bagi bunga mawar ni kat saya.’’ Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berterus terang saja.Wajah Alia berubah apabila mendengar kata-kataku itu.
          ‘’Firdaus yang bagi bunga ni kat you?’’ Tanya Alia lagi,meminta kepastian daripadaku. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru saja aku katakan tadi.
          Aku hanya membalas pertanyaan Alia itu dengan anggukan.Alia terdiam. Senyuman yang tadi tidak putus-putus terukir di wajah cantiknya terus hilang. Dan serentak dengan itu,kereta syarikat sudah tiba di hadapanku.
          ‘’Sorrylah Alia. Saya pergi dulu ya.’’ Kataku meminta diri daripadanya,seraya membuka pintu kereta.
          ‘’Okay,take care.’’ Ujar Alia perlahan. Nadanya tidak lagi ramah seperti tadi. Aku berasa hairan juga dengan cara percakapan Alia yang secara drastik berubah itu,tetapi aku malas hendak memikirkannya.

‘’ARIANA,boleh tak awak masuk bilik saya sekejap?’’ Pinta Nazrul kepadaku. Seperti biasa,nadanya kedengaran dingin. Aku hanya akur. Setelah aku meletak tas tangannya di dalam bilikku,aku terus masuk ke dalam pejabat Pengarah Urusan.
          ‘’Encik Nazrul,ini adalah laporan saya setelah melawat tapak pembinaan di Damansara itu dua hari lepas. Buat masa ni,tiada apa-apa masalah besar yang timbul. Cuma mungkin disebabkan faktor cuaca yang tak berapa nak menentu sekarang ni,jadual projek kita akan menjadi tergendala sedikit. Tetapi saya rasa masalah ini sudah boleh diatasi sebab syarikat kita telah mengupah beberapa pekerja baru untuk membantu pelaksaan projek itu agar dapat disiapkan pada masa yang telah ditetapkan.’’ Terangku seraya meletakkan laporan yang telah aku siapkan semalam kepada Nazrul. Memang aku sudah sedia tahu bahawa Nazrul pasti akan bertanyakan tentang projek itu. Sebab itulah aku sudah bersiap-sedia dengan semua dokumen yang diperlukan walaupun tanpa dipinta oleh Nazrul.
           Nazrul membelek-belek laporanku itu. Beberapa minit kemudian dia meletakkan laporan itu di atas mejanya tanpa berkata apa-apa. Berdasarkan pengalamanku,kalau Nazrul hanya diam saja tanpa memberikan sebarang komen,bermakna lelaki itu puas hati dengan hasil kerjaku.Tetapi kalau ada cacat-cela walau sedikitpun yang tidak memuaskan hatinya,hanya ALLAH S.W.T. saja yang tahu betapa ‘power’nya ayat-ayat yang akan keluar dari mulutnya.Aku ini dikira bernasib baik kerana dapat terus bekerja di situ walaupun acap kali aku membidas kata-katanya,biarpun aku sendiri pernah berniat untuk berhenti dari syarikat itu kerana tidak tahan lagi dengan perangainya. Tetapi kerana Firdaus,habis rancanganku hancur lebur!
          ‘’Ariana,kau ni seorang perempuan kan?’’ Soal Nazrul secara tiba-tiba.
          ‘’Excuse me?’’ Aku mengerutkan dahi. Tak nampak ke yang aku pakai baju kurung sekarang ni. Buta ke apa. Serasanya mahu saja aku berkata begitu kepada Nazrul.
          ‘’Dan seorang perempuan mesti akan memahami perasaan seorang perempuan yang lain,kan?’’ Nada Nazrul kedengaran semakin serius.
          ‘’Apa yang Encik Nazrul cuba nak sampaikan ni? Saya tak fahamlah.’’ Ujarku dengan wajah bingung.
          ‘’Apa perasaan kau kalau lelaki yang kau cintai dengan sepenuh jiwa dan raga selama bertahun-tahun,akhirnya bercinta dengan perempuan lain pula. Bahkan kau dapat tahu pula bahawa mereka kenal tak sampai dua bulan pun.Apa yang kau rasa?’’
          Semakin Nazrul meneruskan kata-katanya,semakin aku tak mengerti apa yang cuba disampaikannya.
         ‘’Err...saya akan rasa sakit hati agaknya.’’ Jawabku ringkas.
         ‘’Kalau kau dah tahu macam tu,kenapa kau masih lagi bercinta dengan Firdaus? Kau ni memang tak pernah memikirkan perasaan orang lain kan.’’ Mata Nazrul mencerlung memandangku. Terkejut aku mendengar tuduhannya yang bagiku tidak berasas itu.
         ‘’Minta maaf Encik Nazrul. Tapi saya langsung tak faham apa yang Encik Nazrul cakapkan ni. Hati siapa pula yang saya dah lukakan sampai Encik Nazrul nak bentak-bentak saya macam ni.’’ Kataku dengan rasa tidak senang,tetapi aku masih cuba mengawal perasaanku.Aku tidak mahu menimbulkan pergaduhan dengannya pagi-pagi macam ni.
         ‘’Kau tahu tak yang Alia dah lama sukakan Firdaus,sejak diorang belajar sama-sama di London dulu.Alia tu cantik,lawa,bergaya. Ramai lelaki yang hendakkan dia. Semuanya dia tolak sebab rasa cintanya yang  mendalam terhadap Firdaus. Tapi sekarang,kau suka-suka hati saja nak masuk line,bercinta dengan Firdaus walaupun korang tak lama kenal pun. Perempuan macam apa kau ni,sampai sanggup menghancurkan hati perempuan lain?’’ Bidas Nazrul bertalu-talu. Wajahku berubah apabila mendengar kata-kata Nazrul itu. Aku tidak menyangka bahawa selama ini Alia menaruh hati kepada Firdaus.
          ‘’Saya tak pernah tahu pun perkara ni...’’
          ‘’Tapi sekarang kau dah tahu kan? Jadi aku rasa sebaiknya kau minta putus dengan Firdaus sekarang. Alia tu kawan baik aku.Aku tak sanggup tengok dia terluka.Bila dapat tahu kau terima bunga daripada Firdaus pun hatinya sudah macam dirobek-robek,inikan pula kalau dia melihat korang berdua bersama nanti.Aku harap kau ikut saja apa yang aku cakap,kalau kau tidak mahu mendapat susah.’’ Ayat Nazrul yang terakhir berbaur ugutan,dan itu amat tidak disenangi olehku.
          ‘’Maafkan saya Encik Nazrul. Tapi saya rasa Encik Nazrul tak berhak nak menyuruh saya buat apa yang Encik Nazrul minta tadi tu. Ya,di pejabat ni Encik Nazrul memang bos saya,tapi tak bermakna yang Encik Nazrul boleh mencampuri urusan peribadi saya.Soal Alia pula,saya juga turut tumpang simpati. Tapi saya sendiri tak boleh buat apa-apa kerana Firdaus yang memilih sendiri untuk bersama saya.Jadi saya berharap agar Encik Nazrul dapat menghormati keputusannya itu walaupun Encik Nazrul tak sukakan saya sekalipun.’’
           ‘’Hei,kau sedar tak dengan siapa kau sedang bercakap ni? Kau tu tak layak buat Firdaus tahu tak!’’ Tengking Nazrul lantang. Telinganya sudah memerah. Panas dengan kata-kataku.
           ‘’Ya,saya tahu dengan siapa saya tengah bercakap. Saya sedang bercakap dengan Tengku Nazrul Hakimi bin Tengku Yusrizal,sepupu dan juga kawan baik kepada Tengku Firdaus Amsyar bin Tengku Farizudin,lelaki yang paling saya cintai.Sebab itulah saya minta agar Encik Nazrul menyokong perhubungan kami ini,kerana kalau Encik Nazrul membantah keputusannya,Firdaus pasti akan sedih. Dan saya tak mahu melihat Firdaus sedih dan hatinya terluka.Tentang soal layak atau tidak,saya rasa itu bergantung kepada penilaian seseorang individu itu sendiri. Saya rasa saya sudah cukup layak untuk Firdaus. Kalau tidak masakan dia memilih saya untuk menjadi kekasihnya dari ramai-ramai perempuan yang tergila-gilakannya di luar sana. Betul tak?’’ Aku menjawab dengan nada yang tenang. Ternyata kata-kataku berjaya membuat hati Nazrul bagai diledak dengan beribu-ribu butir bom.
            Aku bangun dari dudukku.  ‘’Kalau tak ada apa-apa lagi,saya minta diri dulu,Encik Nazrul. Dan saya harap lain kali perkara macam ni takkan berlaku lagi. Saya harap Encik Nazrul dapat bersikap professional dan tidak mencampur-adukkan urusan peribadi dengan kerja.’’ Sindirku. Nazrul terus diam,tidak terkata apa-apa lagi.
            Aku keluar dengan senyuman penuh kepuasan dan rasa bangga yang semakin berkembang mekar di dalam hatiku. Puas hatiku kerana dapat membalas kembali kata-kata lelaki berlagak itu. Aku juga rasa macam hendak tergelak apabila mengenangkan kembali apa yang aku ucapkan tadi. Aku cintakan Firdaus? Hah,kalaulah Nadia ada di situ pasti dia sudah ketawa berguling-guling. Setahun pun belum tentu dia akan habis memerliku.
           Tanpa kusedari,langkahku diperhatikan oleh Firdaus.Entah kenapa,Firdaus merasakan satu perasaan yang tidak pernah dirasainya selama ini apabila mencuri dengar perbualan Nazrul dan Ariana tadi.Apabila Ariana memberitahu kepada Nazrul bahawa gadis itu mencintainya,hatinya terasa berbunga-bunga dan kegembiraannya tidak dapat digambarkan dengan apa saja perkataan yang terdapat dalam dunia ini pun,meskipun dirinya juga dihimpit rasa bersalah apabila mengetahui bahawa Alia yang selama ini hanya dianggapnya sebagai teman rapat itu rupa-rupanya menaruh perasaan kepadanya.
           Apakah dia sudah jatuh cinta kepada gadis bernama Nur Ariana Abdullah itu? Entahlah,Firdaus sendiri tidak pasti. Cuma apa yang dia tahu,peristiwa tadi membuatnya semakin tertarik untuk mengenali diri Ariana yang sebenarnya.Mencari tahu sebab kenapa wajah Ariana persis sekali seperti wanita yang pernah dikenalinya itu.

2 comments:

  1. sambung la.. xsabar nk baca.... plsss

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai ailah :) sejak novel saya dipublishkan, saya memang dah tak post chapter baru dalam blog ni. kalau awak berminat, boleh baca sambungannya dalam versi cetak. Tajuk baru novel 'sekali ini saja' ialah Dia Si Katak Puru, terbitan Buku Prima. ;D

      Delete