Monday, 12 May 2014

Sekali Ini Saja 18



Penulis : Sorry for the late update ! Line internet tiba2 jadi macam siput, so tak boleh nak publish lebih awal. Hope you guys enjoy this chapter ! :D

‘’ARY,macam mana dengan yang ni?’’ Nadia menunjukkan sehelai kain berwarna biru kepadaku.
        ‘’Tak cantiklah warna dia.’’ Komenku. Nadia mengambil pula sehelai kain berwarna merah tua.
        ‘’Kalau yang ni pula?’’
        ‘’Amelia tu baru umur tujuh tahun,Nadia.Takkanlah kau nak suruh dia pakai warna orang tua pula.’’
        Nadia mengeluh seraya memilih-milih kain yang lain pula di hadapannya.
        ‘’Hah,this one macam mana?’’ Nadia menayang-nayangkan kepadaku kain yang berwarna merah jambu itu. Aku mengambil kain itu dari pegangan Nadia seraya mencari-cari tanda harga untuk kain tersebut. Sesak nafas aku dibuatnya apabila melihat satu meter kain tersebut pun dijual dengan harga mencecah puluhan ringgit.
        ‘’Mahal sangatlah.’’ Aku meletakkan kembali kain itu.
        ‘’Kedekutlah kau ni,Ary. Untuk anak saudara sendiri pun kau nak berkira.’’ Omel Nadia tidak puas hati.
        ‘’Bukan masalah kedekut ke apa. Lia tu budak-budak lagi,tak elok ajar dia pakai benda-benda yang mahal-mahal. Nanti mak dia tu kata pula aku yang mengajar anak dia berlagak macam orang kaya.’’ Balasku kembali. Isteri kepada Abang Haikal memang tidak pernah suka padaku sejak kali pertama kami bertemu lagi. Maklumlah,dia adalah kawan baik kepada Sarah dan menantu kesayangan mak cikku pula. Jadi sudah tentulah perangai mereka pun lebih kurang sama saja.
         ‘’Yalah tu. Ada-ada saja alasan kau bagi.Aku tak tahulah nak cakap apa dengan perangai kau ni. Untuk diri kau sendiri pun kau berkira,inikan pula untuk orang lain kan. Contohnya,tengoklah handphone kau tu,dari zaman sekolah sampai sekarang tak pernah tukar-tukar. Orang lain dah guna iPhone,Samsung Galazy,Macbook,kau pula masih kekal pakai handphone tak ada kamera kau tu. Nama saja gaji ribu-ribu,kerja berpangkat tinggi.’’ Leter Nadia kepadaku lagi. Aku hanya buat-buat tidak dengar. Bagiku,aku lebih suka menyimpan wangku di dalam bank dari membazirkannya untuk membeli telefon-telefon bimbit canggih seperti yang disebut oleh Nadia tadi. Bagiku guna telefon apa pun sama saja,janji boleh jawab panggilan orang dan hantar mesej sudah cukup.
          ‘’Pssttt! Ary, tu Firdaus kan?’’ Nadia menyinggung lenganku ketika aku membelek-belek kain berwarna merah jambu .Aku memandang ke arah yang ditunjukkan Nadia.Tidak jauh daripada kami, Firdaus sedang berjalan bersama seorang gadis yang berambut panjang. Walaupun wajah gadis itu tidak jelas kelihatan,tetapi aku dapat mengagak bahawa gadis itu adalah seorang yang cantik.
         ‘’Yalah tu agaknya.’’ Aku berpura-pura tidak peduli dan meneruskan apa yang kulakukan tadi.
         ‘’Siapa perempuan yang bersama dengan dia tu hah?’’ Nadia berusaha memanjangkan leher dan mengalih posisinya berdiri untuk melihat wajah gadis itu dengan lebih jelas.
         ‘’Tak payah nak sibuk hal dialah.’’ Ujarku kurang senang.
         ‘’Eh,mestilah aku kena ambil tahu. Firdaus tu kan senior aku. Berita panas ni.’’ Nadia tidak mempedulikan tegahanku.
         ‘’Ary,diorang datang ke arah sinilah!’’ Jeritan Nadia itu membuatkan aku terperanjat.Aku memandang Firdaus dan gadis itu yang sudah masuk ke dalam butik. Firdaus nampaknya masih tidak menyedari akan kehadiran aku dan Nadia di situ.
         ‘’Jomlah pergi Nadia.’’ Aku menggantungkan semula kain yang kupegang tadi dan menarik tangan Nadia. Namun Nadia enggan berganjak dari situ.
         ‘’Kejaplah. Aku nak tahu siapa perempuan yang bersama dengan dia tu.’’ Ternyata Nadia masih tidak berpuas hati.
         ‘’Nadia….’’ Aku cuba menghalang,tapi Nadia lebih cepat bertindak.
         ‘’Abang Firdaus !’’ Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku,Nadia sudah menjerit memanggil nama lelaki itu.
         Jantungku bagai hendak tercabut apabila Firdaus menoleh ke arah kami dan tersenyum pada kami berdua. Nadia membalas senyumannya seraya melambaikan tangan,sementara aku hanya berdiri kaku di situ. YA-ALLAH,kenapalah aku kena jumpa dengan dia kat sini?
         ‘’Hi Nadia,long time no see.’’ Sapa Firdaus apabila dia sudah berdiri di hadapan kami.
         ‘’Tulah kan. Hari ni pun memang kebetulanlah kita jumpa kat sini.’’ Balas Nadia. Aku tidak berkata apa-apa. Sesekali aku menjeling wajah gadis cantik yang berdiri di sebelah Firdaus itu. Rasa macam kenal saja muka perempuan ni,tapi di mana ya?
         ‘’Nadia,perkenalkan ,ni kawan abang,Alia. Ariana mesti dah kenal kan,sebab korang pernah jumpa dulu.’’ Firdaus bagaikan tahu-tahu saja apa yang bermain di fikiranku. Barulah aku teringat pertemuan antara kami di lobi dahulu.
          ‘’Hi Nadia, I’m Alia. Nice to meet you.’’Alia bersalaman dengan Nadia dan kemudiannya mengalihkan pandangan kepadaku.
         ‘’ And… you must be Ariana, right? Firdaus dah banyak bercerita pasal you kat I.’’
        ‘’Oh,really?’’ Aku mengangkat keningku seraya merenung ke arah Firdaus.
        ‘’Yeah,he said that you are his friend. Kawan pertama dia semenjak dia pulang ke Malaysia.’’ Beritahu Alia.
        ‘’Kawan?’’ Aku membuat muka pelik.
        ‘’By the way,apa yang Nadia dan Ariana buat kat sini?’’ Soal Firdaus,nampaknya cuba mengalihkan tajuk perbualan. Aku menghadiahkan jelingan tajam untuknya.
        ‘’Oh,Nadia temankan Ary beli kain kat sini. Katanya nak dihadiahkan untuk anak saudaranya kat kampung.’’ Nadia memberitahu tujuan kami datang ke sini.
        ‘’Oh,good then. I pun nak beli baju juga kat sini. Baju kat sini memang lawa-lawa kan. Bolehlah kita beli sama-sama.’’ Sambut Alia dengan wajah ceria.
        ‘’Tak kacau Cik Alia dengan Abang Firdaus ke?’’
        ‘’Tak adalah. Lagipun shopping dengan Firdaus ni bosan. Yang buruk pun dikatanya cantik. Tak boleh minta pendapat langsung.’’ Kata Alia seraya ketawa.
        ‘’I ni bukan shopaholic macam you okey. Lagipun you tanya I pasal baju-baju perempuan. Manalah I tahu.’’ Ujar Firdaus mempertahankan diri.
        ‘’Oh,kalau macam tu Abang Firdaus samalah macam Ariana.Dia pun bukannya suka shopping-shopping semua ni. Kalau tak disebabkan anak saudara dia,memang dia tak jejaklah shopping mall ni.’’ Nadia mula membabitkan aku pula dalam perbualan mereka.
        Aku menendang kaki Nadia kuat.Muka Nadia berkerut-kerut menahan kesakitan,tetapi dia masih cuba berlagak selamba. Dia menolak kakiku ke tepi.
        Aku hanya memerhati Nadia dan Alia yang sedang rancak berbual sambil membelek-belek semua baju yang ada di situ. Nampaknya mereka berdua sudah menjadi kawan baik dalam masa kurang dari sejam. Ataupun Nadia memang sengaja mahu mendekati Alia kerana mahu mencari tahu hubungan sebenar yang terjalin di antara Firdaus dan gadis itu.
       Entahlah,aku tak tahu. Yang aku tahu,aku sudah menyerahkan semua urusan pembelian kain yang mahu kujadikan hadiah untuk Amelia kepada Nadia. Dalam hal ini aku kena akui bahawa cita rasa Nadia memang jauh lebih baik daripadaku. Tidak kisahlah apa yang Nadia mahu buat dengan Alia,janji ianya tidak melibatkan aku dan hasrat aku untuk membeli kain untuk Amelia tercapai. Sekarang yang menjadi masalahku cuma satu saja. Firdaus yang tak henti-henti memandangku sejak tadi !
         ‘’Ariana…’’ Entah sejak bila Firdaus berdiri di sebelahku pun aku tidak sedar. Firdaus menyerahkan secawan kopi yang masih panas untukku. Starbucks Coffee. Bila dia keluar membelinya pun aku tak sedar. Aku tak mengambil pemberiannya itu.
        ‘’Aku tak minum kopi mahal macam ni.’’ Jawabku ringkas. Terasa kekok pula mahu berbual-bual dengannya secara bersendirian seperti itu. Apatah lagi setelah aku melancarkan ‘perang dingin’ antara kami sejak peristiwa di kafetaria tempoh hari.
       ‘’Tak suka minum kopi mahal ke atau tak suka saya ada kat sini?’’ Firdaus menyerkap jarang. Aku tidak menjawab pertanyaannya. Nampaknya Firdaus sendiri sudah sedar akan sikap dinginku terhadapnya semenjak dua menjak ini. Bukan kedinginan seperti yang selalu aku tunjukkan,tetapi kedinginan yang cukup luar biasa.Aku berpura-pura memerhatikan Alia dan Nadia yang sedang ketawa tidak jauh di hadapanku. Entah apalah yang mereka bualkan sehingga ketawa terkekeh-kekeh seperti itu.
       ‘’Ariana….’’ Firdaus masih tidak berputus asa mahu mendengar suaraku yang menjadi begitu mahal sekali untuknya sejak kebelakangan ini.
      Aku masih mendiamkan diri.
      ‘’Awak kan kedekut,tak sakit hati ke belanjakan duit kat tempat mahal macam ni?’’
      Aku mengalihkan pandanganku ke arahnya.
      ‘’Suka hati akulah. Aku ada kacau duit kau ke?’’
      ‘’Memanglah tak kacau duit saya. Cuma saya rasa hairan saja. ‘’
      Aku menarik nafas.  ‘’None of your business.’’
      Kala itu,tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi,tanda mesej baru masuk.
Haa... apa yang korang buat tu? :P
      Aku mendengus. Nadia ni kan,dalam sibuk-sibuk bersama Alia pun sempat memperhatikan aku dan Firdaus lagi. Betul-betul mata dia tu macam mata helang.
      ‘’That is... your handphone?’’ Soal Firdaus sambil terus merenung pada telefon bimbitku.
      ‘’Kenapa? Terkejut sebab tengok masih ada orang yang pakai handphone ketinggalan zaman macam ni?’’ Aku berkata selamba.
      ‘’Tak adalah.’’ Firdaus mengalih pandang ke arah lain. Aku tidak menyalahkannya kerana berkelakuan sebegitu. Seperti yang Nadia katakan tadi,gaji ribu-riban,tapi masih pakai telefon bimbit Nokia 3310. Siapa yang tak hairan.
       ‘’Cakap sajalah yang kau pandang rendah kat aku kan. Maklumlah,aku tak guna telefon mahal macam kau.’’
       Firdaus tersenyum.  ‘’Saya tak pernah pandang rendah pada awak. Bahkan awak tahu tak,perangai awak yang macam ni membuatkan awak jadi lebih menarik pada pandangan mata saya,dan membuatkan saya lebih tertarik pada awak.’’
       Wajah aku berubah.
       ‘’Ariana,Abang Firdaus.’’ Nadia dan Alia muncul di hadapan kami.
      ‘’Kitorang dah habis shopping. Ary,kau nak tengok tak kain untuk Amelia tu? Cantik tau. Alia yang tolong pilihkan.’’ Nadia mahu mengeluarkan kain itu dari beg kertas yang dijinjingnya,tetapi aku pantas menghalangnya.
      ‘’Tak apalah,kita tengok kat rumah sajalah nanti.’’
      ‘’Eh,nak balik dah ke? Tak mahu minum-minum dulu?’’ Soal Alia pula.
      ‘’No thanks. Saya nak cepat ni.’’ Dengan sebaik mungkin aku menolak pelawaan Alia.
      ‘’Ala Ary,takkan sekejap pun tak boleh?’’ Pujuk Nadia pula. Tetapi apabila melihatkan raut wajahku yang keruh dan pandangan mataku yang memanah wajahnya, Nadia terus terdiam. Dia tidak berani hendak membantah lagi.
        Aku dan Nadia terus keluar dari butik itu setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Alia dan Firdaus.Tercungap-cungap Nadia dibuatnya mahu mengejar langkah kakiku yang pantas.
       ‘’Relakslah Ary. Kau nak cepat-cepat ni kau nak pergi mana?’’ Soal Nadia apabila sudah berjaya menyaingiku.
       ‘’Nak balik rumahlah.Apa lagi.’’ Balasku.
       ‘’Kalau ya pun sabarlah dulu. Tak lari rumah tu dikejarlah,Ary.’’ Kata Nadia. Aku hanya diam. Sehingga sampai ke rumah aku tidak membuka mulutku.Nadia hairan apabila melihat tingkah lakuku itu.
      ‘’Kau ni dah kenapa? Dari tadi aku tengok semacam saja. Abang Firdaus ada kata apa-apa ke kat kau?’’ Soal Nadia seraya duduk di sebelahku.Aku masih mendiamkan diri,hanya bermain-main dengan kuku jariku. Otakku ligat berfikir ketika itu.
      ‘’Ary,kau dengar tak apa yang aku cakap ni?’’ Tanya Nadia lagi dengan nada yang lebih kuat daripada tadi,mungkin sudah bosan apabila aku hanya membiarkan dia bercakap seorang diri. Aku mengeluh.
      ‘’Aku takut,Nadia.’’ Akhirnya aku meluahkan apa yang terpendam dalam hatiku.
      ‘’Apa yang kau takutkan,Ary?’’
      ‘’Aku takut kalau dia dapat tahu yang aku ni sebenarnya adalah Ria.’’
      Nadia terdiam buat seketika.
      ‘’Kenapa,dia ada beritahu kau ke yang dia rasa yang kau tu adalah Ria?’’
      ‘’Dia tak adalah kata terus-terang macam tu. Cuma dia selalu cakap, tingkah laku aku,sikap aku, apa yang aku cakap, selalu mengingatkan dia kepada seseorang. Bahkan masa kami makan bersama-sama kat kafeteria hari tu pun,dia ada cerita pasal benda yang kami pernah bualkan melalui telefon dulu.Aku takut Nadia. Aku takut kalau rahsia yang aku simpan selama ni akan terbongkar kalau keadaan berterusan macam ni.’’
       Nadia mengeluh.  ‘’Apa kata kalau kau berterus-terang saja perkara yang sebenarnya pada dia,Ary?’’ Nadia memberi cadangan yang mengejutkanku.
      ‘’Kau ni dah gila ke,Nadia?’’
       ‘’Lebih baik macam tu kan daripada  kau terus-terusan berada dalam ketakutan macam ni,kan.’’
      Aku terdiam. Kemudiannya aku pula yang menghempaskan keluhan panjang.

TOKK..TOKK…
      Kedengaran pintu pejabatku diketuk. Setelah aku menyuruh orang yang mengetuk pintu itu masuk,pintu itu dikuak dan terpacul wajah Firdaus di situ.
      Aku mengeluh seraya bertanya pendek.  ‘’Yes?’’
      Firdaus menghampiriku.  ‘’May I sit here?’’ Soalnya.
      Aku hanya membalas pertanyaannya dengan anggukan. Firdaus duduk di hadapanku dan meletakkan sebuah beg kertas di hadapanku.
      ‘’Ni pemberian Alia. Kebetulan masa awak dan Nadia baru balik semalam, we found this beautiful cloth. So Alia bought it for your niece. Dia suruh saya bagi benda ni kat awak.’’ Terang Firdaus tanpa kutanya apa-apa kepadaku.
     ‘’Oh,thanks to her.’’ Balasku seraya meneruskan kembali kerjaku yang tertangguh sebentar tadi. Firdaus masih tetap di posisinya. Tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa dia mahu berganjak dari situ. Biarlah,nanti kalau dia dah bosan dia keluarlah,desis hatiku.
     ‘’Ariana…’’ Panggil Firdaus beberapa ketika kemudian.
     ‘’Hermmm…’’ Balasku acuh tak acuh.
     ‘’Kenapa awak layan saya macam ni? Apa salah saya pada awak?’’ Soalan Firdaus itu membuatkan aku tersentak. Aku mengangkat wajahku dan menentang pandangan matanya.
     ‘’Apa awak cakap ni?’’ Aku berpura-pura tidak mengerti akan maksud kata-katanya.
     ‘’Kalau dulu saya masuk bilik awak macam sekarang ni,awak mesti akan marah-marah. Pantang saya cakap sikit, ada saja benda yang keluar dari mulut awak tu untuk membalas kata-kata saya. But now,you are different.Awak tak lagi berperangai macam tu.Apa-apa saya buat pun awak senyap saja,langsung tak melawan macam dulu.’’ Ujar Firdaus dengan wajah serius. Belum pernah aku mendengar nada suaranya setegas itu sebelum ini.
     ‘’Manusia berubah,Firdaus.’’ Ringkas saja jawapan yang kuberikan.
     ‘’Tapi kalau saya tak suka perubahan tu?’’ Pertanyaan Firdaus itu seakan mahu mendugaku.
     ‘’You have no right to say that.’’ Aku mahu menyambung kembali kerjaku yang tertunda,tetapi tiba-tiba pelan projek yang berada dalam peganganku direntap oleh Firdaus. Aku terkejut dengan tindakannya yang tidak diduga itu.
     ‘’What’s wrong with you,Firdaus?’’ Aku terus bangun dari dudukku.Kesabaranku mulai tercabar.
     ‘’Saya yang sepatutnya tanya soalan tu pada awak,Ariana. What’s wrong with you? Kenapa awak layan saya macam ni? Apa yang saya dah buat pada awak?” Soal Firdaus bertubi-tubi.
         ‘’Sebab aku tak suka pada kau! Aku bencikan kau! Aku tak suka setiap kali kena berada dekat dengan kau! Puas hati?’’ Aku melepaskan segala tekanan yang membelenggu jiwaku.
        Wajah  Firdaus berubah.Matanya merenungku dengan pandangan yang sukar untukku tafsirkan.Seketika kemudian dia menghempaskan nafas panjang.
        ‘’Saya tak sangka yang selama ni awak begitu bencikan saya.’’ Firdaus tersenyum pahit.Jelas terpancar kekecewaan di dalam anak matanya yang mulai kelam itu.  ‘’Mesti selama ni saya dah banyak menyeksa perasaan awak kan.’’
        Jiwaku tiba-tiba berasa tersentuh melihat Firdaus yang kecewa,tetapi aku cuba untuk terus mengeraskan hatiku.
       ‘’Baguslah kalau kau dah sedar,Firdaus. Jadi lepas ni kau tak payahlah ganggu aku lagi.’’  Aku cuba untuk selamba walaupun hatiku terasa bagai direntap-rentap kala itu. Entah kenapa,hatiku sendiri berasa sakit apabila terpaksa melukai Firdaus seperti ini.
      ‘’Saya dah faham,Ariana. Maaflah kalau selama ni saya dah banyak menyusahkan awak.Saya janji,lepas ni saya takkan kacau awak lagi.’’
      ‘’Good then. Aku gembira sebab akhirnya kau dah faham juga.’’ Aku cuba untuk senyum selebar mungkin,tetapi aku tahu senyuman yang kuukir itu betul-betul plastik.
      Firdaus berjalan ke arah pintu.Tetapi sebelum keluar,dia sempat bertanya padaku.
      ‘’Awak nak tahu sesuatu tak,Ariana?’’
     ‘’Apa?’’
     ‘’Sejak saya berjumpa dengan awak,saya dah banyak berubah.’’
     Aku tergamam. Firdaus kembali bersuara.
     ‘’Sebelum ni,saya dikenali sebagai Tengku Firdaus Amsyar yang sangat baik,peramah,memahami ,tak suka menyusahkan orang lain dan lebih mementingkan kepentingan orang lain melebihi diri saya sendiri. Pointnya,memang semua ciri yang baik-baik tu,semuanya ada pada diri sayalah.’’
     ‘’So?’’ Aku tidak mengerti apa yang cuba disampaikannya.
     ‘’Tetapi semenjak saya bertemu dengan awak,entah kenapa saya dapat merasakan yang saya bagaikan sudah berubah menjadi orang lain. Dari seorang yang baik, saya berubah menjadi seorang yang agresif untuk mendekati awak,suka kacau awak walaupun saya tahu bahawa awak tak suka,dan sering memaksa awak untuk melakukan perkara yang awak tak suka. Dan tadi juga,saya secara tiba-tiba merentap kertas projek tu dari tangan awak.Padahal sebelum ni saya tak pernah berkelakuan macam ni dengan sesiapa pun,awak tahu tak?’’
      Aku terkedu. Firdaus tidak menyambung lagi lalu membuka pintu.Aku dan Firdaus sama-sama terkejut apabila melihat beberapa pekerja sedang berada di hadapan pintu bilikku. Ada di antara mereka yang terjatuh sebaik Firdaus menguak pintu,mungkin kerana mereka melekapkan telinga mereka pada pintu ketika mahu mencuri dengar perbualan kami.
     ‘’Apa yang korang semua buat ni hah? Tak ada kerja lain ke?’’ Jerkahku dengan nada yang tinggi. Semua yang ada di situ mula kelam-kabut dan terus kembali ke tempat masing-masing. Sementara Firdaus tidak berkata apa-apa dan balik semula ke biliknya.
      Aku mendengus seraya menutup pintu bilikku dengan kasar. Kuat sekali bunyinya tetapi aku tahu tiada sesiapa di situ yang akan berani memarahiku setelah apa yang berlaku tadi.Aku duduk semula di tempatku dan menutup mataku rapat.
     ‘’Tetapi semenjak saya bertemu dengan awak,entah kenapa saya dapat merasakan yang saya bagaikan sudah berubah menjadi orang lain.’’
     Kata-kata Firdaus itu masih terngiang-ngiang dalam kotak fikiranku. Wajahnya yang kecewa tatkala mengungkapkan semua itu juga bagaikan menari-nari di ruang mataku. Aku membuka mataku kembali seraya mengeluh perlahan.
     Maafkan aku Firdaus. Tapi kalau aku terus biarkan kau mendekati aku seperti ini,aku takut identiti aku yang sebenar akan terbongkar. Dan aku tak akan pernah sanggup untuk berhadapan dengan kau sebagai Ria.Dulu,kini dan selamanya! 

No comments:

Post a Comment