Penulis : Hadiah 2 chapter in a day. Hope you guys enjoy it although this chapter is quite short :)
‘’ARIANA,tolong
masuk bilik saya sekejap.’’
Entah kenapa,suara Nazrul pada pagi
itu kedengaran begitu sopan sekali. Dia mengarahku dengan nada yang cukup
lembut,tidak menengking-nengking seperti kebiasaannya.Aku pun menuju ke biliknya
dengan seribu persoalan kerana keanehannya pada kali ini pasti mempunyai sebab
yang tersendiri. Tidak mungkin dia akan berbuat baik kepadaku secara
tiba-tiba,apatah lagi sejak gosip tentang perbualan aku dan Firdaus tempoh hari
sudah tersebar secara meluas di seluruh Cemerlang Holdings. Nazrul yang aku
kenal tidak mungkin akan menyenangi perkara itu dan dia akan berbuat apa saja
untuk menjatuhkan aku selagi aku tidak menjauhi sepupu kesayangannya itu.
Contohnya,sejak peristiwa aku dan
Firdaus tempoh hari,Nazrul sering mengarahkan aku bekerja di luar pejabat.
Boleh dikatakan masa aku banyak dihabiskan di tapak pembinaan,melakukan kerja
yang ada kalanya bertentangan dengan tugas sebenar aku. Walaupun aku berasa
tidak puas hati dengan tindakan Nazrul yang seakan-akan mahu
menganiayaiku,tetapi dalam masa yang sama aku terpaksa akur kerana aku
merasakan itu adalah salah satu cara yang terbaik untuk aku menjauhkan diri
daripada Firdaus. Apatah lagi sejak kebelakangan ini Firdaus sudah jarang
sekali bercakap denganku.Jadi sudah pasti suasana akan menjadi lebih kekok
kalau kami sering terserempak dalam keadaan tak bertegur sapa seperti itu di
pejabat.
Dan…. Jeng jeng jeng ! Nazrul bercakap
baik padaku pada pagi itu memang disebabkan ada udang di sebalik batu. Kerana
Tengku Yusrizal ada bersamanya di dalam pejabat itu!
‘’Hai,pekerja kesayangan saya ! How are you doing?’’ Tengku Yusrizal
menyapaku mesra.Aku terkejut melihat kehadirannya yang secara tiba-tiba itu.
‘’Saya macam biasalah,baik-baik saja.
Tengku Yusrizal buat apa kat sini? Nak ambil alih jawatan pengarah urusan balik
ke?’’ Soalku gembira tanpa mempedulikan kehadiran Nazrul di situ. Aku dapat
merasakan panahan mata yang tajam daripada Nazrul,tetapi aku buat-buat tidak
perasan dan duduk di hadapan Tengku Yusrizal di atas sofa.
Tengku Yusrizal ketawa apabila mendengar
pertanyaanku.
‘’Ada-ada sajalah awak ni,Ariana. Tak
adalah,saya saja datang melawat. Nak tengok bagaimana perkembangan syarikat
sepanjang ketiadaan saya. Jadi,macam mana dengan Cik Project Manager di hadapan
saya ? Senang tak nak berurusan dengan Pengarah Urusan baru di Cemerlang
Holdings ni?’’
Aku menjeling ke arah Nazrul seraya
tersenyum sinis. ‘’Saya gembira
Tengku,kerana dapat bekerjasama dengan Pengarah Urusan baru syarikat kita ni.
Encik Nazrul ni dahlah baik! Bertimbang rasa! Prihatin terhadap pekerja-pekerja
bawahannya! Pokoknya,senanglah nak berurusan dengan Encik Nazrul ni.’’ Aku
menekankan semua ciri-ciri palsu yang aku sebutkan mengenai Nazrul. Dalam
hati,aku ketawa terbahak-bahak. Pasti Nazrul sedang sibuk memaki hamun aku
sekarang ini.
‘’Yakah? Macam tak percaya pula yang anak
bujang saya ni berperangai macam tu. Selama ni bukan main garang lagi. Asyik
nak marah saja tak kira tempat. Tak sangka pula bila Nazrul bekerja di sini
sikap Nazrul pun berubah sekali.’’ Kata Tengku Yusrizal.
‘’Manusia perlu melakukan perubahan untuk
berjaya,kan papa?’’ Ujar Nazrul pula yang sejak tadi hanya mendiamkan diri.
Sambil-sambil itu dia sempat menghadiahkan jelingan tajam kepadaku. Aku
berpura-pura memandang ke tempat lain.
‘’Betul apa yang kamu cakap tu,Nazrul.’’
Tengku Yusrizal mengangguk-angguk. ‘’Oh
ya,bercakap pasal perubahan ni,saya tengok muka awak ni macam berubah
sikitlah,Ariana. Kulit muka awak macam jadi lebih gelap,dan awak pun nampak
letih saja. Banyak sangat kerja ke yang anak saya ni beri pada awak?’’
Aku berasa terkejut. Tidak kusangka Tengku
Yusrizal akan menegur perubahan pada wajahku yang aku sendiri tidak pernah
kisah. Semalam pun Nadia sudah berleter padaku apabila melihat kulit mukaku
sudah menjadi kusam dan tidak bermaya. Nadia siap mempromosikan beberapa bahan
penjagaan kulit untuk kucuba.
‘’Tak adalah,Tengku. Kerja saya macam
biasa saja. Cuma,sejak kebelakangan ni saya banyak menghabiskan masa dekat
tapak projek. Tu yang kulit pun jadi gelap. Kena pancaran cahaya matahari
banyak sangat.’’ Beritahuku kepada Tengku Yusrizal.Dan semua ni berlaku kerana
anak kesayangan Tengku yang macam Hitler ni,kutukku seraya menjeling ke arah
Nazrul. Kali ini giliran Nazrul berpura-pura menoleh ke arah lain.
‘’Tak bolehlah macam tu,Ariana. Awak tu
perempuan. Muka awak tu adalah aset terpenting awak. Wajah awak tu dah
cantik,sayang kalau tak jaga elok-elok. Awak tu masih muda lagi.’’ Nasihat
Tengku Yusrizal.Aku terasa malu pula apabila ditegur sebegitu. Apatah lagi di
hadapan lelaki bermuka toya yang bernama Nazrul yang sekarang ini sedang
menayang senyum sinisnya kepadaku. Cis,tak guna!
‘’Baiklah,Tengku.Saya akan ingat
pesanan Tengku tu.’’ Akhirnya aku terpaksa akur.
‘’Saya nasihat awak ni bukan sebab nak
tunjuk pandai ke apa,tapi sebab saya dah anggap awak macam anak saya sendiri.
Jadi kalau ada sebarang perubahan yang tak menyenangkan pada diri awak,kenalah
saya tegur. Saya tak naklah nanti anak emas saya ni kena kutuk dengan orang
pula kan.’’ Tengku Yusrizal cuba menghiburkan hatiku kembali. Aku tersenyum
kelat kepadanya seraya mengangguk.
‘’Papa,how about tonight? Berapa ramai business
partner papa yang akan datang?’’ Soal Nazrul kepada Tengku Yusrizal.
‘’Hermm…. Maybe about twenty people. Oh ya Ariana,why don’t you join us tonight?’’
‘’Apa?’’ Mata Nazrul terbuntang
mendengar cadangan Tengku Yusrizal. Macam dirinya terkena kejutan
elektrik. ‘’Kenapa papa ajak dia ke party malam ni pula? Kan majlis ni
hanyalah untuk business partner papa
saja.’’
‘’Memanglah,tapi mereka pun ada bawa
anak-anak dan isteri-isteri mereka. Bahkan ada seorang business partner papa tu nak bawa setiausahanya datang. Jadi apa
salahnya kalau Ariana menyertai kita pada malam ini. Bolehlah papa kenalkan
pekerja papa yang paling berdedikasi dan komited kepada diorang. Lagipun ada di
antara mereka tu yang memang dah kenal dengan Ariana bila syarikat kita
menjalinkan kerjasama dengan syarikat mereka.’’
‘’Tapi….’’ Aku dan Nazrul berkata serentak.
Kata-kata kami terhenti seraya memandang antara satu sama lain. Terpancar
keresahan pada anak mata Nazrul. Nampak sangat dia tak menyukai cadangan yang
diutarakan oleh Tengku Yusrizal untuk mengundang aku menyertai majlis yang
penuh dengan ahli-ahli korporat itu.
Dan begitu juga aku. Sedangkan majlis
penganugerahan aku sendiri pun aku malas nak pergi,inikan pula nak pergi ke
majlis-majlis yang dipenuhi oleh ahli-ahli perniagaan yang topik perbualan
mereka hanya mengenai wang. Okey,aku memang suka duit,tapi aku tak suka orang
kaya! Jadi aku memang takkan pergi ke majlis-majlis macam ni. Takkan pernah!
‘’Maaf Tengku,tapi saya rasa mungkin
saya tak dapat pergi.’’ Akhirnya aku terpaksa membuka mulut.
‘’Kenapa pula?’’ Soal Tengku Yusrizal.
‘’Err… sebab saya ada hal malam ni.’’
Ujarku tergagap-gagap. Sukar rasanya mahu bercakap bohong di hadapan lelaki
yang sangat kuhormati itu.
‘’Tak boleh batalkan ke?’’ Tanya
Tengku Yusrizal tegas.Ah,susahnya!
‘’Tak boleh,Tengku. Sebab hal ni
memang betul-betul penting. Tak boleh kalau tak disiapkan hari ni.’’ Ujarku
cuba meyakinkan Tengku Yusrizal.
‘’Kalau pasal pelan projek perumahan
tu,esok pun awak boleh siapkan.’’
Tiba-tiba Nazrul berkata sedemikian,sesuatu
yang aku tidak fahami.Aku terpinga-pinga. Pelan perumahan? Pelan apa pula ni?
‘’Papa,sebenarnya Nazrul yang suruh
Ariana kerja lebih masa malam ni untuk siapkan satu pelan perumahan yang dekat Bangsar
tu.Tapi memandangkan yang papa begitu bersungguh-sungguh nak ajak Ariana ke
majlis malam ni,tak apalah. Pelan tu bila-bila pun boleh disiapkan.
Lagipun,Ariana kan pekerja papa yang paling berkomited dan bertanggungjawab.
Jadi,dia pasti akan dapat siapkan pada masa yang ditetapkan. Betul tak,Cik
Arianaaa?’’ Nazrul menyebut namaku panjang. Dia memandang ke arahku lalu
menghadiahkan senyuman yang paling keji yang pernah aku lihat terukir di bibir
seorang manusia. Peluh mula menitik pada bajuku. Tak guna,dia sengaja nak
memerangkap aku!
‘’Oh,kalau macam tu masalah dah selesailah.
Ariana boleh join kita malam ni.’’
Kata Tengku Yusrizal dengan nada gembira.
‘’Ya,Tengku.’’ Aku tersenyum nipis,padahal dalam hati hanya
ALLAH S.W.T saja yang tahu bagaimana perasaanku.
Sebaik Tengku Yusrizal beredar,aku
terus berdiri di hadapan Nazrul dengan muka bengis.
‘’Apa tujuan Encik Nazrul cakap macam
tu tadi?’’ Soalku dengan nada suara yang cuba kutahan sedaya upaya. Kalaulah
tak mengenangkan lelaki di hadapanku ini adalah Pengarah Urusan syarikat ini
dan juga anak kepada Tengku Yusrizal,memang aku sudah meninggikan suara
terhadapnya.
‘’Cakap apa?’’ Nazrul membuat muka
bodoh. Aku semakin geram.
‘’Bila masa pula Encik Nazrul suruh
saya kerja lebih masa malam ni? Dan kita mana ada projek perumahan kat Bangsar sekarang
ni. Nak tipu pun agak-agaklah.’’
‘’Habis tu,yang kau tipu tadi tu betul
sangatlah?’’
‘’Apa yang saya tipu?’’
‘’Yang kau perli-perli aku
konon-kononnya aku baiklah,bertanggungjawablah dan prihatin sangat di hadapan
papa. Kau memang sengaja nak buat aku nampak teruk di hadapan papa kan?’’
‘’Bila masa pula saya perli? Saya cakap
benda yang baik-baik saja kan. Ada saya kutuk-kutuk Encik Nazrul? Takkan ?
Lainlah kalau Encik Nazrul ni jenis manusia yang tak suka mendengar
perkara-perkara yang baik,tu saya tak boleh nak kata apalah. Maklumlah,selama
ni cakap pun tak pernah berlapik,tak kira sama ada apa yang Encik Nazrul cakap
tu menyakiti pihak yang mendengarnya atau tidak. Asalkan Encik Nazrul puas
hati,itu sudah cukup kan? Tak kisahlah perasaan orang lain terluka atau
tak,lantak dioranglah,betul tak?’’ Tanpa kusedar,sekali lagi aku meluahkan apa
yang telah terbuku di hatiku selama ini.Dan ternyata kata-kataku itu berjaya
membuatkan Nazrul terdiam.
Aku terus meninggalkan bilik itu
bersama dengan hati yang runsing,memikirkan apa yang harus kulakukan untuk
‘bertahan’ pada malam ini. Melayan kerenah orang-orang kaya yang pastinya
memeningkan kepala!
MALAM itu,aku hanya
berpakaian serba ringkas. Seperti biasa,aku memakai baju kurung yang
mencerminkan imejku sebagai seorang gadis Melayu dan aku mengikat rambutku
dengan getah rambut berwarna biru tirus yang sepadan dengan warna baju
kurungku. Dan atas paksaan Nadia,malam itu secara rasminya aku telah melanggar
sumpahku sendiri untuk tidak sesekali memakai mekap !
Pada mulanya aku tak mahu,tetapi
apabila mengenangkan komen Tengku Yusrizal tentang wajahku petang tadi,aku
terpaksa merelakan saja Nadia menyapukan segala macam toner,pelembap,krim dan
apa-apa saja yang dia suka ke atas kulit mukaku. Tidak sanggup aku ditegur
sekali lagi berkenaan perkara yang sama,apatah lagi kalau diketawakan oleh
Hitler bernama Nazrul itu yang sememangnya seronok apabila melihat aku
menderita.
Dan hasilnya,aku sendiri bagaikan
tidak percaya apabila melihat wajahku di cermin. Aku seperti berubah menjadi
seseorang yang lain ; in a good way.
Kulit wajahku tidak lagi kelihatan kusam,bahkan menjadi lebih berseri-seri dari
selalunya.Aku mengelip-ngelipkan mataku berkali-kali,macam tidak percaya mekap
Nadia boleh mengubah wajahku dalam sekelip mata.
‘’Amacam,cantik tak?’’ Soal Nadia.
‘’Hemm…not bad. Tapi,kau tak rasa keterlaluan sangat ke?’’ Tanyaku
ragu-ragu.
‘’Keterlaluan apanya.Mekap kau ni
mekap natural tahu tak. Bukannya aku buat muka kau ni macam opera Cina.’’ Leter
Nadia kepadaku. Aku tersengih kepadanya.
‘’Yalah,terima kasihlah sebab tolong
aku.Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,Nadia.’’ Aku memeluk bahu Nadia.
‘’Tahu tak apa.’’
‘’Err…. Nadia,nak minta pertolongan
kau lagi boleh tak?’’
‘’Apa?’’
‘’Temankan aku pergi majlis malam
ni?’’
Nadia menggeleng. ‘’Herrr….kalau yang tu,aku minta maaf.Memang
aku tak dapat tolong kau. Tak sanggup aku nak berhadapan dengan Hitler kau
tu.’’
‘’Alah,aku kan ada. Kau nak takut
apa? Lagipun kat situ ramai orang. Bapak dia pun ada.Dia takkan berani buat
apa-apa punya.’’ Aku berusaha untuk memujuk Nadia lagi. Bukannya apa,jika Nadia
ada sekurang-kurangnya aku ada teman.
‘’Dulu pun masa dia marah budak
perempuan tu kaw-kaw pun,ramai juga pelajar lain di sekeliling dia. Siap
penolong kanan semua ada sekali. Tapi dia tak hairan pun. ‘’ Nadia mengungkit
kembali cerita lama. Aku memuncungkan bibirku. Nampaknya,aku terpaksalah pergi
tak berteman juga malam ni,keluhku dalam hati.
‘’Kirim salam kat Abang Firdaus
tau.’’ Pesan Nadia sebelum keretanya meluncur laju keluar meninggalkan
pekarangan banglo mewah tiga tingkat itu. Aku mengeluh. Terlupa pula aku
tentang lelaki yang bernama Firdaus ini. Satu lagi masalah!
Aku memerhati seketika halaman rumah
itu yang luas,dihiasi pokok-pokok bunga di setiap penjuru untuk menceriakan
suasana. Kelihatan deretan kereta mewah di tempat meletak kereta,menandakan
tetamu yang diraikan pada malam itu sudah mula tiba satu-persatu. Aku menarik
nafas.Aku mula ragu-ragu akan tujuan asalku. Adakah aku harus masuk ke dalam
rumah atau aku terus cabut dari situ? Rasanya hatiku lebih cenderung untuk
memilih pilihan yang kedua. Kalau Tengku Yusrizal tanya nanti,kata sajalah ada
hal kecemasan,sebab tu tak boleh datang.Ah,kenapalah aku tak fikirkan idea ini
dari tadi!
‘’Ariana….’’ Kedengaran suara seseorang
menyapaku dari belakang. Aku terkejut apabila melihat Alia. Seperti biasa,Alia
begitu seksi pada malam itu dengan memakai dress
berwarna hitam separas paha yang menonjolkan bentuk tubuhnya yang persis
model itu.Di sebelahnya pula terdapat seorang lelaki separuh usia yang memakai
kot berwarna hitam.Lelaki itu aku kenali kerana dia adalah business partner Tengku Yusrizal yang pernah berurusan denganku.
‘’Oh,hai Alia.’’ Aku tersenyum pahit.
Kehadiran Alia membantutkan rancanganku.
‘’You buat apa kat sini?’’ Soal Alia
mesra. Sementara lelaki itu yang kukenali sebagai Datuk Jaafar hanya tersenyum
padaku.
‘’Tengku Yusrizal jemput saya
datang.Katanya ada majlis.’’
‘’Oh,kalau begitu samalah kita.Tengku
Yusrizal ni business partner papa I. Papa,kenalkan,ni
Ariana,kawan Alia. Ariana,kenalkan,ni papa I.’’
‘’Papa dah kenal dengan Ariana. Dulu
kami pernah bekerjasama dalam satu projek. Ariana ni pekerja kesayangan yang
paling dipercayai Tengku Yusrizal. Betul tak,Ariana?’’ Kata Datuk Jaafar mesra.
‘’Tak adalah,Datuk.Biasa-biasa saja.’’
Ujarku merendah diri.
‘’Alia,Pak Cik Jaafar,buat apa di luar
ni?’’ Tiba-tiba suara Firdaus menampar telingaku.Aku menoleh.Firdaus kelihatan
tampan sekali dengan kot yang dipakai dan rambutnya yang disisir rapi.Dia
kelihatan lebih matang dan bergaya,sesuai dengan usianya yang sudah menjangkau
29 tahun.Hatiku tiba-tiba berdegup kencang apabila melihat penampilannya ketika
itu.
Firdaus yang tidak perasan akan
kehadiranku di situ tadi terkejut apabila melihatku.Namun dia tidak berkata
apa-apa,hanya menguntumkan senyuman buatku. Secara spontan,aku turut membalas
senyumannya.Kemudian,aku mengikut langkah mereka memasuki banglo mewah yang
sudah dihias indah itu. Apabila aku di dalam,aku terkejut dengan apa yang aku
lihat.Aku memandang kepada pakaian semua tetamu wanita yang ada di
situ,kemudian aku melihat pula diriku dari atas ke bawah.Masya-ALLAH,nampaknya
di situ hanya aku saja yang memakai baju kurung atau dalam istilah lain yang
lebih kasar,memakai pakaian yang sopan. Sementara tetamu yang lain termasuk
mak-mak Datin yang sudah berusia separuh abad,fuhhh,pakaian mengalahkan Alia
pun ada!
‘’Ariana,jom kita pergi ambil
makanan.’’ Teguran Alia mengembalikan aku ke alam nyata.Sekali lagi aku hanya
menurut langkahnya.Setelah selesai mengambil makanan,Alia meninggalkan aku buat
seketika dan menemani Datuk Jaafar bergaul dengan tetamu-tetamu yang lain.
Sementara aku hanya duduk termangu-mangu sendirian di satu sudut.
Aku menjamah makananku sambil memerhati
telatah tetamu-tetamu di situ.Sesekali aku berasa geli melihat gelagat
orang-orang kaya yang kebanyakan sudah tua bangka itu. Yang perempuan,pakai
seksi tu dah satu hal.Lepas tu asyik bergesel-gesel macam kucing miang dengan
lelaki yang bukan suami mereka.Yang lelaki pun tak kurang juga hebatnya,termasuklah
Datuk Jaafar sendiri. Mentang-mentanglah isterinya tiada di sisi,mulalah nak
tunjuk belang.Alia pun nampaknya tidak kisah dengan gelagat bapanya.
YA-ALLAH,manalah Tengku Yusrizal dan
isterinya ni,aku berkata resah di dalam hati.Cepat-cepatlah sedikit mereka
berdua muncul agar aku dapat menunjukkan mukaku di hadapan mereka dan pergi
dari situ secepat mungkin.Rasa macam bersubahat pula berada di dalam tempat ni
lama-lama.
‘’Hai,duduk sorang saja ke?’’ Tiba-tiba
lelaki berkot putih itu muncul di hadapanku dengan senyum sinisnya.Aku
mengeluh.Ibu bapanya yang aku harapkan,si anaknya pula yang muncul.Apalah
malang nasib aku hari ni!
‘’Taklah,duduk berdua.’’ Jawabku malas.
Aku tiada mood nak melayan Nazrul ketika itu. Aku sangkakan dengan jawapan
loyar burukku itu dia akan beredar,tetapi sebaliknya pula berlaku. Dia duduk di
sebelahku dan memandangku dari atas ke bawah. Tahu sangat aku apa yang dia akan
cakap selepas ini.Pasti dia akan mengkritik cara pemakaianku.
‘’Kenapa kau pakai baj….’’
‘’Maaf,tapi saya tak ada baju
seksi-meksi macam perempuan-perempuan kaya di sini pakai.Saya ni orang
kampung,gadis Melayu terakhir. Jadi saya hanya pakai baju kurung saja.’’ Aku
pantas memotong percakapannya.
Wajah Nazrul berubah.Kelihatan riak
tidak puas hati pada mukanya.
‘’Kau ni kan….’’
‘’Leave her alone,Nazrul.’’
Baru saja Nazrul mahu membidas
kata-kataku,Firdaus mencelah.Aku melihat di tangannya terdapat pinggan yang
penuh berisi makanan.
‘’Tapi kau tengoklah dia ni!’’ Nazrul
cuba mendapatkan pembelaan daripada Firdaus.
‘’Dia tak kacau kau pun kan. Kau pun
janganlah kacau dia.’’ Balas Firdaus.Muka Nazrul masam mencuka apabila tidak
mendapat reaksi yang diharapkan daripada Firdaus.Dia terus bangun dan
meninggalkan kami berdua.Firdaus mengalihkan pandangannya kepadaku.
‘’Jangan pedulikan sangat apa yang
Nazrul cakap.Perangai dia memang macam tu.’’ Ujar Firdaus.
‘’Ya,aku tahu.’’ Aku cuba bersikap
selamba,walhal dalam hatiku resah dan gelisah mula bercampur-aduk.Buat kali
pertama setelah pertengkaran kami tempoh hari,aku dan Firdaus bercakap seperti
ini. Dan seperti yang aku jangka,suasana pasti akan menjadi kekok.
Bagai memahami situasi diriku,Firdaus
menyambung, ‘’Tak apalah,saya pergi melayan tetamu yang lain dulu ya.’’
‘’Oh,okey.’’ Hatiku berasa sangat
lega apabila Firdaus beredar dari situ. Aku kembali mengunyah makanan yang
kuambil tadi.Ketika aku makan sebiji donut yang bersalut krim putih di
sekelilingnya,kunyahanku terhenti. Aku melihat isi yang terdapat di dalam donut
itu.
Mentega kacang,desis hatiku.
Entah kenapa,hatiku tiba-tiba terasa
berdebar-debar.Aku segera meletakkan pingganku di atas meja dan mencari Firdaus
di sekeliling ruang tamu itu. Kemudiannya aku terlihat kelibat Firdaus bersama
Nazrul sedang berbual-bual sesama mereka. Dan yang membuatkan jantung aku
bagaikan hendak tercabut,Firdaus sedang menghalakan donut berisi mentega kacang
yang sama jenis seperti yang kumakan tadi ke dalam mulutnya!
Bestla.. Sambung lg tau... Jgn lambat sangat tau updatenya...
ReplyDeletethanks yaa :D
Delete