Monday, 12 May 2014

Sekali Ini Saja 19

Penulis : Hadiah 2 chapter in a day. Hope you guys enjoy it although this chapter is quite short :)

‘’ARIANA,tolong masuk bilik saya sekejap.’’
          Entah kenapa,suara Nazrul pada pagi itu kedengaran begitu sopan sekali. Dia mengarahku dengan nada yang cukup lembut,tidak menengking-nengking seperti kebiasaannya.Aku pun menuju ke biliknya dengan seribu persoalan kerana keanehannya pada kali ini pasti mempunyai sebab yang tersendiri. Tidak mungkin dia akan berbuat baik kepadaku secara tiba-tiba,apatah lagi sejak gosip tentang perbualan aku dan Firdaus tempoh hari sudah tersebar secara meluas di seluruh Cemerlang Holdings. Nazrul yang aku kenal tidak mungkin akan menyenangi perkara itu dan dia akan berbuat apa saja untuk menjatuhkan aku selagi aku tidak menjauhi sepupu kesayangannya itu.
       Contohnya,sejak peristiwa aku dan Firdaus tempoh hari,Nazrul sering mengarahkan aku bekerja di luar pejabat. Boleh dikatakan masa aku banyak dihabiskan di tapak pembinaan,melakukan kerja yang ada kalanya bertentangan dengan tugas sebenar aku. Walaupun aku berasa tidak puas hati dengan tindakan Nazrul yang seakan-akan mahu menganiayaiku,tetapi dalam masa yang sama aku terpaksa akur kerana aku merasakan itu adalah salah satu cara yang terbaik untuk aku menjauhkan diri daripada Firdaus. Apatah lagi sejak kebelakangan ini Firdaus sudah jarang sekali bercakap denganku.Jadi sudah pasti suasana akan menjadi lebih kekok kalau kami sering terserempak dalam keadaan tak bertegur sapa seperti itu di pejabat.
      Dan…. Jeng jeng jeng ! Nazrul bercakap baik padaku pada pagi itu memang disebabkan ada udang di sebalik batu. Kerana Tengku Yusrizal ada bersamanya di dalam pejabat itu!
      ‘’Hai,pekerja kesayangan saya ! How are you doing?’’ Tengku Yusrizal menyapaku mesra.Aku terkejut melihat kehadirannya yang secara tiba-tiba itu.
      ‘’Saya macam biasalah,baik-baik saja. Tengku Yusrizal buat apa kat sini? Nak ambil alih jawatan pengarah urusan balik ke?’’ Soalku gembira tanpa mempedulikan kehadiran Nazrul di situ. Aku dapat merasakan panahan mata yang tajam daripada Nazrul,tetapi aku buat-buat tidak perasan dan duduk di hadapan Tengku Yusrizal di atas sofa.
      Tengku Yusrizal ketawa apabila mendengar pertanyaanku.
      ‘’Ada-ada sajalah awak ni,Ariana. Tak adalah,saya saja datang melawat. Nak tengok bagaimana perkembangan syarikat sepanjang ketiadaan saya. Jadi,macam mana dengan Cik Project Manager di hadapan saya ? Senang tak nak berurusan dengan Pengarah Urusan baru di Cemerlang Holdings ni?’’
      Aku menjeling ke arah Nazrul seraya tersenyum sinis.  ‘’Saya gembira Tengku,kerana dapat bekerjasama dengan Pengarah Urusan baru syarikat kita ni. Encik Nazrul ni dahlah baik! Bertimbang rasa! Prihatin terhadap pekerja-pekerja bawahannya! Pokoknya,senanglah nak berurusan dengan Encik Nazrul ni.’’ Aku menekankan semua ciri-ciri palsu yang aku sebutkan mengenai Nazrul. Dalam hati,aku ketawa terbahak-bahak. Pasti Nazrul sedang sibuk memaki hamun aku sekarang ini.
     ‘’Yakah? Macam tak percaya pula yang anak bujang saya ni berperangai macam tu. Selama ni bukan main garang lagi. Asyik nak marah saja tak kira tempat. Tak sangka pula bila Nazrul bekerja di sini sikap Nazrul pun berubah sekali.’’ Kata Tengku Yusrizal.
     ‘’Manusia perlu melakukan perubahan untuk berjaya,kan papa?’’ Ujar Nazrul pula yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. Sambil-sambil itu dia sempat menghadiahkan jelingan tajam kepadaku. Aku berpura-pura memandang ke tempat lain.
     ‘’Betul apa yang kamu cakap tu,Nazrul.’’ Tengku Yusrizal mengangguk-angguk.  ‘’Oh ya,bercakap pasal perubahan ni,saya tengok muka awak ni macam berubah sikitlah,Ariana. Kulit muka awak macam jadi lebih gelap,dan awak pun nampak letih saja. Banyak sangat kerja ke yang anak saya ni beri pada awak?’’
     Aku berasa terkejut. Tidak kusangka Tengku Yusrizal akan menegur perubahan pada wajahku yang aku sendiri tidak pernah kisah. Semalam pun Nadia sudah berleter padaku apabila melihat kulit mukaku sudah menjadi kusam dan tidak bermaya. Nadia siap mempromosikan beberapa bahan penjagaan kulit untuk kucuba.
     ‘’Tak adalah,Tengku. Kerja saya macam biasa saja. Cuma,sejak kebelakangan ni saya banyak menghabiskan masa dekat tapak projek. Tu yang kulit pun jadi gelap. Kena pancaran cahaya matahari banyak sangat.’’ Beritahuku kepada Tengku Yusrizal.Dan semua ni berlaku kerana anak kesayangan Tengku yang macam Hitler ni,kutukku seraya menjeling ke arah Nazrul. Kali ini giliran Nazrul berpura-pura menoleh ke arah lain.
    ‘’Tak bolehlah macam tu,Ariana. Awak tu perempuan. Muka awak tu adalah aset terpenting awak. Wajah awak tu dah cantik,sayang kalau tak jaga elok-elok. Awak tu masih muda lagi.’’ Nasihat Tengku Yusrizal.Aku terasa malu pula apabila ditegur sebegitu. Apatah lagi di hadapan lelaki bermuka toya yang bernama Nazrul yang sekarang ini sedang menayang senyum sinisnya kepadaku. Cis,tak guna!
        ‘’Baiklah,Tengku.Saya akan ingat pesanan Tengku tu.’’ Akhirnya aku terpaksa akur.
       ‘’Saya nasihat awak ni bukan sebab nak tunjuk pandai ke apa,tapi sebab saya dah anggap awak macam anak saya sendiri. Jadi kalau ada sebarang perubahan yang tak menyenangkan pada diri awak,kenalah saya tegur. Saya tak naklah nanti anak emas saya ni kena kutuk dengan orang pula kan.’’ Tengku Yusrizal cuba menghiburkan hatiku kembali. Aku tersenyum kelat kepadanya seraya mengangguk.
        ‘’Papa,how about tonight? Berapa ramai business partner papa yang akan datang?’’ Soal Nazrul kepada Tengku Yusrizal.
        ‘’Hermm…. Maybe about twenty people. Oh ya Ariana,why don’t you join us tonight?’’
        ‘’Apa?’’ Mata Nazrul terbuntang mendengar cadangan Tengku Yusrizal. Macam dirinya terkena kejutan elektrik.  ‘’Kenapa papa ajak dia ke party malam ni pula? Kan majlis ni hanyalah untuk business partner papa saja.’’
        ‘’Memanglah,tapi mereka pun ada bawa anak-anak dan isteri-isteri mereka. Bahkan ada seorang business partner papa tu nak bawa setiausahanya datang. Jadi apa salahnya kalau Ariana menyertai kita pada malam ini. Bolehlah papa kenalkan pekerja papa yang paling berdedikasi dan komited kepada diorang. Lagipun ada di antara mereka tu yang memang dah kenal dengan Ariana bila syarikat kita menjalinkan kerjasama dengan syarikat mereka.’’
       ‘’Tapi….’’ Aku dan Nazrul berkata serentak. Kata-kata kami terhenti seraya memandang antara satu sama lain. Terpancar keresahan pada anak mata Nazrul. Nampak sangat dia tak menyukai cadangan yang diutarakan oleh Tengku Yusrizal untuk mengundang aku menyertai majlis yang penuh dengan ahli-ahli korporat itu.
      Dan begitu juga aku. Sedangkan majlis penganugerahan aku sendiri pun aku malas nak pergi,inikan pula nak pergi ke majlis-majlis yang dipenuhi oleh ahli-ahli perniagaan yang topik perbualan mereka hanya mengenai wang. Okey,aku memang suka duit,tapi aku tak suka orang kaya! Jadi aku memang takkan pergi ke majlis-majlis macam ni. Takkan pernah!
       ‘’Maaf Tengku,tapi saya rasa mungkin saya tak dapat pergi.’’ Akhirnya aku terpaksa membuka mulut.
         ‘’Kenapa pula?’’ Soal Tengku Yusrizal.
         ‘’Err… sebab saya ada hal malam ni.’’ Ujarku tergagap-gagap. Sukar rasanya mahu bercakap bohong di hadapan lelaki yang sangat kuhormati itu.
         ‘’Tak boleh batalkan ke?’’ Tanya Tengku Yusrizal tegas.Ah,susahnya!
         ‘’Tak boleh,Tengku. Sebab hal ni memang betul-betul penting. Tak boleh kalau tak disiapkan hari ni.’’ Ujarku cuba meyakinkan Tengku Yusrizal.
         ‘’Kalau pasal pelan projek perumahan tu,esok pun awak boleh siapkan.’’
         Tiba-tiba Nazrul berkata sedemikian,sesuatu yang aku tidak fahami.Aku terpinga-pinga. Pelan perumahan? Pelan apa pula ni?
         ‘’Papa,sebenarnya Nazrul yang suruh Ariana kerja lebih masa malam ni untuk siapkan satu pelan perumahan yang dekat Bangsar tu.Tapi memandangkan yang papa begitu bersungguh-sungguh nak ajak Ariana ke majlis malam ni,tak apalah. Pelan tu bila-bila pun boleh disiapkan. Lagipun,Ariana kan pekerja papa yang paling berkomited dan bertanggungjawab. Jadi,dia pasti akan dapat siapkan pada masa yang ditetapkan. Betul tak,Cik Arianaaa?’’ Nazrul menyebut namaku panjang. Dia memandang ke arahku lalu menghadiahkan senyuman yang paling keji yang pernah aku lihat terukir di bibir seorang manusia. Peluh mula menitik pada bajuku. Tak guna,dia sengaja nak memerangkap aku!
        ‘’Oh,kalau macam tu masalah dah selesailah. Ariana boleh join kita malam ni.’’ Kata Tengku Yusrizal dengan nada gembira.
        ‘’Ya,Tengku.’’  Aku tersenyum nipis,padahal dalam hati hanya ALLAH S.W.T saja yang tahu bagaimana perasaanku.
        Sebaik Tengku Yusrizal beredar,aku terus berdiri di hadapan Nazrul dengan muka bengis.
        ‘’Apa tujuan Encik Nazrul cakap macam tu tadi?’’ Soalku dengan nada suara yang cuba kutahan sedaya upaya. Kalaulah tak mengenangkan lelaki di hadapanku ini adalah Pengarah Urusan syarikat ini dan juga anak kepada Tengku Yusrizal,memang aku sudah meninggikan suara terhadapnya.
        ‘’Cakap apa?’’ Nazrul membuat muka bodoh. Aku semakin geram.
        ‘’Bila masa pula Encik Nazrul suruh saya kerja lebih masa malam ni? Dan kita mana ada projek perumahan kat Bangsar sekarang ni. Nak tipu pun agak-agaklah.’’
        ‘’Habis tu,yang kau tipu tadi tu betul sangatlah?’’
       ‘’Apa yang saya tipu?’’
       ‘’Yang kau perli-perli aku konon-kononnya aku baiklah,bertanggungjawablah dan prihatin sangat di hadapan papa. Kau memang sengaja nak buat aku nampak teruk di hadapan papa kan?’’
       ‘’Bila masa pula saya perli? Saya cakap benda yang baik-baik saja kan. Ada saya kutuk-kutuk Encik Nazrul? Takkan ? Lainlah kalau Encik Nazrul ni jenis manusia yang tak suka mendengar perkara-perkara yang baik,tu saya tak boleh nak kata apalah. Maklumlah,selama ni cakap pun tak pernah berlapik,tak kira sama ada apa yang Encik Nazrul cakap tu menyakiti pihak yang mendengarnya atau tidak. Asalkan Encik Nazrul puas hati,itu sudah cukup kan? Tak kisahlah perasaan orang lain terluka atau tak,lantak dioranglah,betul tak?’’ Tanpa kusedar,sekali lagi aku meluahkan apa yang telah terbuku di hatiku selama ini.Dan ternyata kata-kataku itu berjaya membuatkan Nazrul terdiam.
        Aku terus meninggalkan bilik itu bersama dengan hati yang runsing,memikirkan apa yang harus kulakukan untuk ‘bertahan’ pada malam ini. Melayan kerenah orang-orang kaya yang pastinya memeningkan kepala!

MALAM itu,aku hanya berpakaian serba ringkas. Seperti biasa,aku memakai baju kurung yang mencerminkan imejku sebagai seorang gadis Melayu dan aku mengikat rambutku dengan getah rambut berwarna biru tirus yang sepadan dengan warna baju kurungku. Dan atas paksaan Nadia,malam itu secara rasminya aku telah melanggar sumpahku sendiri untuk tidak sesekali memakai mekap !
          Pada mulanya aku tak mahu,tetapi apabila mengenangkan komen Tengku Yusrizal tentang wajahku petang tadi,aku terpaksa merelakan saja Nadia menyapukan segala macam toner,pelembap,krim dan apa-apa saja yang dia suka ke atas kulit mukaku. Tidak sanggup aku ditegur sekali lagi berkenaan perkara yang sama,apatah lagi kalau diketawakan oleh Hitler bernama Nazrul itu yang sememangnya seronok apabila melihat aku menderita.
          Dan hasilnya,aku sendiri bagaikan tidak percaya apabila melihat wajahku di cermin. Aku seperti berubah menjadi seseorang yang lain ; in a good way. Kulit wajahku tidak lagi kelihatan kusam,bahkan menjadi lebih berseri-seri dari selalunya.Aku mengelip-ngelipkan mataku berkali-kali,macam tidak percaya mekap Nadia boleh mengubah wajahku dalam sekelip mata.
          ‘’Amacam,cantik tak?’’ Soal Nadia.
          ‘’Hemm…not bad. Tapi,kau tak rasa keterlaluan sangat ke?’’ Tanyaku ragu-ragu.
          ‘’Keterlaluan apanya.Mekap kau ni mekap natural tahu tak. Bukannya aku buat muka kau ni macam opera Cina.’’ Leter Nadia kepadaku. Aku tersengih kepadanya.
          ‘’Yalah,terima kasihlah sebab tolong aku.Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,Nadia.’’ Aku memeluk bahu Nadia.
          ‘’Tahu tak apa.’’
          ‘’Err…. Nadia,nak minta pertolongan kau lagi boleh tak?’’
          ‘’Apa?’’
          ‘’Temankan aku pergi majlis malam ni?’’
          Nadia menggeleng.  ‘’Herrr….kalau yang tu,aku minta maaf.Memang aku tak dapat tolong kau. Tak sanggup aku nak berhadapan dengan Hitler kau tu.’’
          ‘’Alah,aku kan ada. Kau nak takut apa? Lagipun kat situ ramai orang. Bapak dia pun ada.Dia takkan berani buat apa-apa punya.’’ Aku berusaha untuk memujuk Nadia lagi. Bukannya apa,jika Nadia ada sekurang-kurangnya aku ada teman.
          ‘’Dulu pun masa dia marah budak perempuan tu kaw-kaw pun,ramai juga pelajar lain di sekeliling dia. Siap penolong kanan semua ada sekali. Tapi dia tak hairan pun. ‘’ Nadia mengungkit kembali cerita lama. Aku memuncungkan bibirku. Nampaknya,aku terpaksalah pergi tak berteman juga malam ni,keluhku dalam hati.
          ‘’Kirim salam kat Abang Firdaus tau.’’ Pesan Nadia sebelum keretanya meluncur laju keluar meninggalkan pekarangan banglo mewah tiga tingkat itu. Aku mengeluh. Terlupa pula aku tentang lelaki yang bernama Firdaus ini. Satu lagi masalah!
         Aku memerhati seketika halaman rumah itu yang luas,dihiasi pokok-pokok bunga di setiap penjuru untuk menceriakan suasana. Kelihatan deretan kereta mewah di tempat meletak kereta,menandakan tetamu yang diraikan pada malam itu sudah mula tiba satu-persatu. Aku menarik nafas.Aku mula ragu-ragu akan tujuan asalku. Adakah aku harus masuk ke dalam rumah atau aku terus cabut dari situ? Rasanya hatiku lebih cenderung untuk memilih pilihan yang kedua. Kalau Tengku Yusrizal tanya nanti,kata sajalah ada hal kecemasan,sebab tu tak boleh datang.Ah,kenapalah aku tak fikirkan idea ini dari tadi!
        ‘’Ariana….’’ Kedengaran suara seseorang menyapaku dari belakang. Aku terkejut apabila melihat Alia. Seperti biasa,Alia begitu seksi pada malam itu dengan memakai dress berwarna hitam separas paha yang menonjolkan bentuk tubuhnya yang persis model itu.Di sebelahnya pula terdapat seorang lelaki separuh usia yang memakai kot berwarna hitam.Lelaki itu aku kenali kerana dia adalah business partner Tengku Yusrizal yang pernah berurusan denganku.
       ‘’Oh,hai Alia.’’ Aku tersenyum pahit. Kehadiran Alia membantutkan rancanganku.
       ‘’You buat apa kat sini?’’ Soal Alia mesra. Sementara lelaki itu yang kukenali sebagai Datuk Jaafar hanya tersenyum padaku.
       ‘’Tengku Yusrizal jemput saya datang.Katanya ada majlis.’’
       ‘’Oh,kalau begitu samalah kita.Tengku Yusrizal ni business partner papa I. Papa,kenalkan,ni Ariana,kawan Alia. Ariana,kenalkan,ni papa I.’’
        ‘’Papa dah kenal dengan Ariana. Dulu kami pernah bekerjasama dalam satu projek. Ariana ni pekerja kesayangan yang paling dipercayai Tengku Yusrizal. Betul tak,Ariana?’’ Kata Datuk Jaafar mesra.
        ‘’Tak adalah,Datuk.Biasa-biasa saja.’’ Ujarku merendah diri.
        ‘’Alia,Pak Cik Jaafar,buat apa di luar ni?’’ Tiba-tiba suara Firdaus menampar telingaku.Aku menoleh.Firdaus kelihatan tampan sekali dengan kot yang dipakai dan rambutnya yang disisir rapi.Dia kelihatan lebih matang dan bergaya,sesuai dengan usianya yang sudah menjangkau 29 tahun.Hatiku tiba-tiba berdegup kencang apabila melihat penampilannya ketika itu.
       Firdaus yang tidak perasan akan kehadiranku di situ tadi terkejut apabila melihatku.Namun dia tidak berkata apa-apa,hanya menguntumkan senyuman buatku. Secara spontan,aku turut membalas senyumannya.Kemudian,aku mengikut langkah mereka memasuki banglo mewah yang sudah dihias indah itu. Apabila aku di dalam,aku terkejut dengan apa yang aku lihat.Aku memandang kepada pakaian semua tetamu wanita yang ada di situ,kemudian aku melihat pula diriku dari atas ke bawah.Masya-ALLAH,nampaknya di situ hanya aku saja yang memakai baju kurung atau dalam istilah lain yang lebih kasar,memakai pakaian yang sopan. Sementara tetamu yang lain termasuk mak-mak Datin yang sudah berusia separuh abad,fuhhh,pakaian mengalahkan Alia pun ada!
        ‘’Ariana,jom kita pergi ambil makanan.’’ Teguran Alia mengembalikan aku ke alam nyata.Sekali lagi aku hanya menurut langkahnya.Setelah selesai mengambil makanan,Alia meninggalkan aku buat seketika dan menemani Datuk Jaafar bergaul dengan tetamu-tetamu yang lain. Sementara aku hanya duduk termangu-mangu sendirian di satu sudut.
        Aku menjamah makananku sambil memerhati telatah tetamu-tetamu di situ.Sesekali aku berasa geli melihat gelagat orang-orang kaya yang kebanyakan sudah tua bangka itu. Yang perempuan,pakai seksi tu dah satu hal.Lepas tu asyik bergesel-gesel macam kucing miang dengan lelaki yang bukan suami mereka.Yang lelaki pun tak kurang juga hebatnya,termasuklah Datuk Jaafar sendiri. Mentang-mentanglah isterinya tiada di sisi,mulalah nak tunjuk belang.Alia pun nampaknya tidak kisah dengan gelagat bapanya.
        YA-ALLAH,manalah Tengku Yusrizal dan isterinya ni,aku berkata resah di dalam hati.Cepat-cepatlah sedikit mereka berdua muncul agar aku dapat menunjukkan mukaku di hadapan mereka dan pergi dari situ secepat mungkin.Rasa macam bersubahat pula berada di dalam tempat ni lama-lama.
       ‘’Hai,duduk sorang saja ke?’’ Tiba-tiba lelaki berkot putih itu muncul di hadapanku dengan senyum sinisnya.Aku mengeluh.Ibu bapanya yang aku harapkan,si anaknya pula yang muncul.Apalah malang nasib aku hari ni!
       ‘’Taklah,duduk berdua.’’ Jawabku malas. Aku tiada mood nak melayan Nazrul ketika itu. Aku sangkakan dengan jawapan loyar burukku itu dia akan beredar,tetapi sebaliknya pula berlaku. Dia duduk di sebelahku dan memandangku dari atas ke bawah. Tahu sangat aku apa yang dia akan cakap selepas ini.Pasti dia akan mengkritik cara pemakaianku.
       ‘’Kenapa kau pakai baj….’’
       ‘’Maaf,tapi saya tak ada baju seksi-meksi macam perempuan-perempuan kaya di sini pakai.Saya ni orang kampung,gadis Melayu terakhir. Jadi saya hanya pakai baju kurung saja.’’ Aku pantas memotong percakapannya.
           Wajah Nazrul berubah.Kelihatan riak tidak puas hati pada mukanya.
           ‘’Kau ni kan….’’
           ‘’Leave her alone,Nazrul.’’
           Baru saja Nazrul mahu membidas kata-kataku,Firdaus mencelah.Aku melihat di tangannya terdapat pinggan yang penuh berisi makanan.
          ‘’Tapi kau tengoklah dia ni!’’ Nazrul cuba mendapatkan pembelaan daripada Firdaus.
          ‘’Dia tak kacau kau pun kan. Kau pun janganlah kacau dia.’’ Balas Firdaus.Muka Nazrul masam mencuka apabila tidak mendapat reaksi yang diharapkan daripada Firdaus.Dia terus bangun dan meninggalkan kami berdua.Firdaus mengalihkan pandangannya kepadaku.
          ‘’Jangan pedulikan sangat apa yang Nazrul cakap.Perangai dia memang macam tu.’’ Ujar Firdaus.
          ‘’Ya,aku tahu.’’ Aku cuba bersikap selamba,walhal dalam hatiku resah dan gelisah mula bercampur-aduk.Buat kali pertama setelah pertengkaran kami tempoh hari,aku dan Firdaus bercakap seperti ini. Dan seperti yang aku jangka,suasana pasti akan menjadi kekok.
          Bagai memahami situasi diriku,Firdaus menyambung, ‘’Tak apalah,saya pergi melayan tetamu yang lain dulu ya.’’
          ‘’Oh,okey.’’ Hatiku berasa sangat lega apabila Firdaus beredar dari situ. Aku kembali mengunyah makanan yang kuambil tadi.Ketika aku makan sebiji donut yang bersalut krim putih di sekelilingnya,kunyahanku terhenti. Aku melihat isi yang terdapat di dalam donut itu.
          Mentega kacang,desis hatiku.
          Entah kenapa,hatiku tiba-tiba terasa berdebar-debar.Aku segera meletakkan pingganku di atas meja dan mencari Firdaus di sekeliling ruang tamu itu. Kemudiannya aku terlihat kelibat Firdaus bersama Nazrul sedang berbual-bual sesama mereka. Dan yang membuatkan jantung aku bagaikan hendak tercabut,Firdaus sedang menghalakan donut berisi mentega kacang yang sama jenis seperti yang kumakan tadi ke dalam mulutnya!

2 comments:

  1. Bestla.. Sambung lg tau... Jgn lambat sangat tau updatenya...

    ReplyDelete