Monday, 19 May 2014

Sekali Ini Saja 20

ENAM tahun dahulu....
‘’Kau tengah makan apa tu? Asyik cup-cap-cup-cap saja dari tadi aku dengar.’’ Soal Firdaus ketika kami berbual-bual pada malam itu.
‘’Kacang.’’ Balasku seraya menyuakan lagi kacang tanah ke dalam mulutku.
‘’Kacang?’’ Firdaus ketawa kecil. ‘’Ketam pun pandai makan kacang ke?’’ Usiknya.
‘’Biarlah. Sibuk saja katak puru ni!’’ Aku berpura-pura marah.
‘’Haha,sabar Ms. Crab.Tak baik marah-marah dalam bulan puasa ni.Nanti pahala puasa tu berkurangan pula.’’
‘’Siapa yang buat aku marah.Dasar katak puru.’’ Dengusku.
Firdaus ketawa lagi. ‘’ Cepat melenting,tu yang buat aku syok nak kacau kau.’’
‘’Whatever.’’ Balasku kemudiannya.
Firdaus diam seketika sebelum kembali berkata-kata.
‘’Ria…’’
‘’Apa?’’
‘’Aku cemburu dengan kau.’’
‘’Apasal pulak?’’
‘’Sebab kau boleh makan apa-apa saja yang kau suka. Kacang especially.’’
Kunyahannya terhenti.Kali ini giliran aku pula yang ketawa.
‘’Apa jenis alasan yang kau bagi ni. Pasal kacang pun kau nak jealous ke. Kalau kau nak makan kacang pergi beli sajalah. Takkanlah anak orang kaya macam kau ni tak mampu nak beli kacang yang baru berapa sen tu.’’
‘’Bukannya masalah duit ke apa,tapi masalahnya aku yang tak boleh makan kacang.’’
‘’Kenapa pula kau tak boleh makan?’’
‘’Sebab aku hampir mati bila makan benda tu dulu.’’
Tersentak aku apabila mendengar apa yang dikatakannya.
‘’Hampir mati?’’
‘’Masa aku kecil-kecil dulu,kalau tak silap aku semasa aku berusia tujuh tahun,aku termakan kacang yang kawan aku bawa dari rumah dia. Akibatnya,lepas tu aku tiba-tiba rasa pitam dan badan aku menggeletar.Aku terus pengsan. Bila aku sedarkan diri,tengok-tengok aku sudah ada di hospital. Mama aku beritahu nasib baik aku cepat dikejarkan ke hospital,kalau tidak sudah pasti nyawa aku sudah melayang.Rupa-rupanya aku mengalami alahan yang teruk terhadap kacang.Memang aku tak boleh makan kacang langsung,bahkan bahan-bahan yang diperbuat dari kacang pun tak boleh. Sejak dari hari tu,mama aku langsung tak letak bahan-bahan yang mengandungi kacang di rumah.Dia begitu berhati-hati agar kejadian sama tidak berulang lagi,sehinggalah dia meninggal dunia.Dan aku juga sehingga besar panjang sekarang ni,langsung tak pernah makan kacang lagi.’’
‘’Mama kau tak tahu ke yang kau memang tak boleh makan kacang sebelum kau jatuh pengsan tu?’’
‘’Mama aku tu memang tak tahu.’’
‘’Macam mana pula mama kau boleh tak tahu? Bukan ke dia yang jaga kau dari kecil?’’ Aku masih tak berpuas hati.
‘’Sebenarnya mama yang aku maksudkan tu adalah orang gaji aku.’’
‘’Orang gaji kau?’’ Aku terkejut.
‘’Ya. Dia mula menjaga aku sejak aku berusia enam tahun.Sebenarnya,ibu kandung aku dah meninggal sejak aku masih kecil lagi.Jadi sejak mama menjaga aku selepas kematian ibu,aku dah anggap orang gaji aku tu sebagai mama aku sendiri. Lagipun dia sendiri sayangkan aku macam anak dia.Tapi sayangnya,dia meninggal terlalu awal,masa aku berumur lapan tahun. Masa dia meninggal tu memang aku menangis-nangis,sedih sangat. Papa pun terlalu sibuk dengan perniagaannya,tak ada masa nak jaga aku.Akhirnya papa hantar aku tinggal di rumah Pak Long,dan selepas itu barulah aku boleh terima kenyataan tentang kematian mama.’’ Cerita Firdaus panjang lebar.Kedengaran nada sedih pada nada suaranya ketika menceritakan hal itu sehingga mengundang simpatiku.
‘’Maafkan aku ya sebab terpaksa buatkan kau kenang balik hal-hal lama itu.’’ Aku terasa bersalah pula kerana membangkitkan kembali memori silamnya yang sedih itu.
‘’Tak apa.Lagipun kalau aku tak ceritakan kat kau pun,aku memang sentiasa teringatkan mama aku tu. Sejak kejadian aku dimasukkan ke hospital itu,aku sentiasa ingat pesanan mama agar tidak memakan kacang.Dulu masa aku sekolahlah yang paling teruk dugaan yang terpaksa aku hadapi. Kawan-kawan aku,masa belajar dan ulangkaji,semua asyik mengunyah kacang saja masa tu. Kacang tu kiranya jadi makanan ringan dioranglah.Akulah yang terpaksa menelan air liur setiap kali tengok mereka makan kacang tu. Nampak sedap saja kacang tu,tapi nak buat macam mana.Tak boleh makan kan.’’
Aku terdiam seketika seraya meletakkan plastik berisi kacang itu jauh daripadaku.
‘’Kalau macam tu sekarang ni pun aku tak mahu makan kacanglah.’’
‘’Eh,kenapa pula? Makan sajalah. Jangan risau.Aku okey.’’
‘’Tak apa.Plus aku memang dah hilang selera lepas dengar cerita kau tu.’’
‘’Kenapa? Sebab cerita aku sedih sangat? Tak menyangka yang seorang lelaki bernama Tengku Firdaus Amsyar juga mempunyai sejarah silam yang menyakitkan di sebalik personalitinya yang baik dan peramah ni?’’
‘’Baik? Peramah?’’ Aku mencebik bibir. ‘’Perasan!’’
‘’Eh,memang aku ni peramah pun okey.Kalau tak ,tak adalah aku cakap dengan kau sekarang ni.’’
‘’Eh?!’’
‘’Eh?!’’
‘’Eh?!’’
Kami terus berulang-ulang menyebut perkataan ‘Eh?!’’ ketika itu sehingga akhirnya kami ketawa bersama-sama.Dan aku tidak menyangka,hari ini aku terpaksa berhadapan dengan situasi di mana aku harus menyelamatkan Firdaus dari memakan benda yang boleh meragut nyawanya itu!

‘’FIRDAUS,jangan!’’ Aku terus menolak donat yang sudah separuh masuk ke dalam mulut Firdaus,dan secara tak sengaja aku tertampar wajahnya.Donat itu terjatuh di atas lantai.Semua orang terkejut dengan tindakanku yang drastik itu,termasuklah Firdaus sendiri. Dia mengusap-ngusap pipinya yang merah bekas ‘tamparanku’ tadi,dan merenungku tajam,seakan meminta penjelasan di atas perlakuanku tadi.
‘’Hei,apa yang kau buat ni hah!’’ Jerkah Nazrul seraya menolakku kasar. Aku terdorong beberapa langkah ke belakang sebelum jatuh tersungkur ke atas lantai.
Nazrul merenungku bagai singa lapar yang mahu menelan mangsanya. Masih tidak berpuas hati,dia menghampiriku dan mencengkam kedua-dua belah bahuku dengan kuat.
‘’Kau ni kenapa hah? Apa yang kau tak puas hati sangat sampai ke tahap nak menampar orang? Kau sedar tak Firdaus tu siapa? Mentang-mentanglah dia baik dengan kau selama ni,suka-suka hati kau saja nak buat macam-macam dengan dia kan!’’ Tempik Nazrul di hadapan mukaku.
‘’Sakitlah!’’ Jeritku padanya kembali. Cengkaman tangannya yang kuat pada bahuku menyakitkanku. Nazrul mendengus kasar seraya melepaskan cengkamannya dan menolakku sehingga aku tersungkur sekali lagi. Kakiku terasa semakin sakit.Namun aku cuba menguatkan diriku dan cuba untuk bangun.Firdaus seperti menyedari kesakitan yang kualami dan cuba membantuku.
‘’Ariana,awak tak apa-apa ke?’’ Firdaus menghulurkan tangannya kepadaku tetapi ditepis oleh Nazrul.
‘’Woi Firdaus. Kau tak ingat dah ke apa yang dia dah buat kat kau tadi? Yang kau nak tolong dia lagi tu kenapa? Biarlah dia bangun sendiri!’’
‘’Dia tengah sakit tu kan! Takkan nak tengok saja!’’ Bantah Firdaus.
‘’Biarlah! Siapa suruh dia tampar kau? Dia ingat dia tu siapa? Dasar perempuan tak sedar diri!’’ Cemuh Nazrul kepadaku. Aku rasa maruahku sudah betul-betul tercalar pada ketika itu. Di hadapan semua orang,Nazrul menghinaku seperti sampah. Sama seperti apa yang dia lakukan padaku bertahun-tahun dahulu. Air mata sudah bergenang di kelopak mataku tetapi aku tetap bertahan.Aku tak rela air mataku jatuh di hadapan lelaki tak guna ini.
Perlahan-lahan aku cuba berdiri dan akhirnya aku berjaya. Di tengah-tengah kekecohan itu,Tengku Yusrizal muncul bersama isterinya.
‘’Ada apa bising-bising ni?’’ Soal Tengku Yusrizal,hairan dengan situasi tegang itu.
Nazrul tersenyum sinis. ‘’Tanyalah kat pekerja kesayangan papa ni apa yang dia dah buat pada Firdaus!’’
Tengku Yusrizal mengalih pandang padaku. ‘’Apa yang sedang berlaku ni,Ariana?’’
Aku menarik nafas seraya berkata. ‘’Saya tertampar Encik Firdaus.’’
Ringkas saja jawapanku,tetapi sudah cukup untuk mengundang rasa terkejut pada Tengku Yusrizal dan isterinya yang tidak kuketahui namanya itu.
‘’Kenapa awak buat macam tu?’’ Soal Tengku Yusrizal padaku,meminta kepastian.
‘’Sebab dia memang tak suka dengan Nazrul dan Firdaus,papa.’’ Belum sempat aku menjawab,Nazrul sudah berkata-kata bagi pihakku.
Tengku Yusrizal mengerutkan dahi. ‘’Apa maksud kamu,Nazrul?’’
‘’Dari hari pertama Nazrul ada di pejabat,Ariana ni memang dah tak suka kat Nazrul. Dia asyik cari pasal saja dengan Nazrul dan bercakap menggunakan kata-kata yang tak sepatutnya digunakan oleh seorang pekerja dengan orang atasannya. Dia langsung tak menghormati Nazrul sebagai Pengarah Urusan Cemerlang Holdings,papa. Sebab dia tahu yang Nazrul tak macam papa dan tak akan tertipu dengan perangainya yang pura-pura baik itu,padahal bukan baik mana pun.Dengan Firdaus pun dia buat perkara yang sama. Cuma sebab Firdaus ni melayan dia dengan baik,jadi sebab itu dia ingat dia boleh pijak kepala Firdaus. Dia boleh buat apa saja yang dia suka,sampai dia berani menampar Firdaus di khalayak ramai dengan tujuan untuk memalukan keluarga kita di hadapan business partners papa. Bila reputasi kita jatuh,dia pun gembiralah. Betul tak,Cik Nur Ariana Abdullah?’’
Kata-kata Nazrul itu umpama petir yang menyambar diriku bertalu-talu.Aku tidak menyangka sebegitu teruk perspeksinya terhadap diriku selama ini.Walhal aku merasakan aku tidak pernah melampaui batas walaupun aku akui aku sering menyindirnya.Aku tetap menghormatinya sebagai bosku dan tetap berusaha untuk bekerjasama denganku sebaik yang kumampu walaupun aku tidak menyukainya.Dengan Firdaus juga sama. Aku betul-betul merasakan diriku dianiayai pada waktu itu.
‘’Betul ke apa yang Nazrul cakap tu,Ariana?’’ Tengku Yusrizal bertanya padaku.Aku merenung wajah Nazrul dan Firdaus silih berganti. Firdaus kelihatannya bersimpati padaku,tetapi dia juga tidak mampu berbuat apa-apa.Sementara Nazrul tersenyum puas. Mungkin gembira kerana dapat melunaskan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Aku menghela nafas panjang sekali lagi seraya menggeleng-geleng.
‘’Saya rasa saya sudah tiada hak untuk berkata apa-apa lagi di sini. Saya rasa Tengku Yusrizal lebih mengenali saya dan Encik Nazrul,dan lebih tahu untuk membezakan siapa yang salah, siapa yang benar. Tetapi kalau Tengku Yusrizal nak pecat saya disebabkan oleh perkara ini,saya terima. Sebab saya sedar siapa diri saya. Saya ni hanya orang yang makan gaji di syarikat Tengku Yusrizal.Siapalah saya kan hendak berlawan dengan orang yang lebih berkuasa daripada saya.’’ Aku tidak mengiyakan atau menidakkan kata-kata Nazrul.
Sebelum aku pergi,aku menoleh dan memandang wajah Firdaus.
‘’Firdaus,jangan makan donut tu.’’ Pesanku kepadanya.Firdaus kelihatan terkejut.
‘’Kenapa?’’ Soal Firdaus kembali.
‘’Ada mentega kacang dalam tu!’’ Balasku kembali.
Kata-kataku itu mengejutkan Tengku Yusrizal,isterinya dan Nazrul. Nazrul segera mencapai donut yang terjatuh itu dan membelahnya kepada dua. Wajahnya berubah apabila melihat mentega kacang di dalam donut itu.Nazrul mengalihkan pandangannya kepada ibu bapanya dan Firdaus.Kemudian Firdaus memandangku kembali dengan pandangan yang sukar untuk kutafsir.Aku tersenyum nipis kepadaku dan terus berjalan keluar dari rumah itu.
Entah kenapa ketika itu,aku berasa lega yang teramat sangat.Rasa bersalahku pada Firdaus selama ini bagaikan sudah hilang ditiup angin. Tidak pernah aku merasakan hati aku selapang ini sejak kemalangan Firdaus bertahun-tahun yang lalu.
Mungkin aku memperoleh ketenangan ini kerana tadi aku sudah menyelamatkan nyawanya. Jadi,dengan apa yang kulakukan,aku sudah berjaya menebus kesalahanku kerana menyebabkan dia terlibat dalam kemalangan dulu.

‘’TAPI disebabkan kau cuba nak selamatkan dia,kau pula yang ditimpa masalah,Ariana.Tak pasal-pasal kau kena fitnah dengan si Hitler Nazrul tu dan yang paling teruk sekali,kau mungkin akan dipecat dari Cemerlang Holdings.’’ Bebel Nadia setelah aku menceritakan kepadanya apa yang telah berlaku.
‘’Aku dah tak kisah,Nadia. Mungkin selepas ni,rezeki aku bukan di Cemerlang Holdings.’’ Kataku selamba.
‘’Kau masih boleh relaks setelah apa yang berlaku,Ariana? Kagumnya aku tengok kau ni. Belum pernah aku tengok orang yang masih boleh duduk goyang kaki walaupun dia tahu yang dia mungkin akan dipecat bila-bila masa saja.’’ Nadia menggeleng-gelengkan kepalanya.Aku senyum seraya memeluk bahunya.
‘’Biarlah,Nadia. Lagipun aku memang dah tak tahan nak kerja dengan si Nazrul tu.Mulut dia tu macam longkang tahu tak.Dari dulu sampai sekarang sama saja,asyik nak menyakitkan hati aku saja.Nampaknya dia tu memang ditakdirkan untuk membenci aku sejak dia lahir dalam dunia ni,tak kiralah sama ada dia kenal aku sebagai Ria di alam telefon atau Nur Ariana Abdullah di alam sebenar.’’ Keluhku.
‘’Habis,kau nak biar diri kau dipecat macam tu saja?’’
‘’Biarlah. Dari aku terpaksa nak menderita setiap kali berdepan dengan mereka berdua. Parut lama dalam hati aku ni akan kembali berdarah setiap kali aku melihat Nazrul dan Firdaus,Nadia.’’
Nadia terdiam seketika sebelum akhirnya dia tersenyum,menyetujui kata-kataku itu.
‘’Kalau itulah pendapat kau,aku sokong kau Ary.Tambahan pula,aku pun tak sanggup nak tengok kau terseksa macam dulu. Kalau nak diikutkan aku pun bersalah sebenarnya sebab aku yang memperkenalkan kau dengan Firdaus dulu dan seterusnya membuatkan kau terjebak dalam perangkap si Hitler Nazrul tu.Tapi tulah...’’ Nadia mengeluh.
‘’Aku macam sedih sikit sebab bila kau dah tak kerja di Cemerlang Holdings,makin kuranglah peluang aku nak bertemu dengan abang senior aku yang handsome tu.’’
‘’Eleh,mengada-ngada.’’ Aku mencebik. Nadia tersengih.
‘’Jadi sekarang macam mana? Kau nak cari kerja kat mana pula lepas ni?’’
Aku menjungkit bahu,tanda aku sendiri tidak pasti.
‘’Entahlah.Aku ingat lepas aku dapat surat berhenti kerja tu barulah aku nak fikir.’’
‘’Kau tak nak kerja dekat tempat aku ke? Aku boleh tolong recommend.’’ Nadia menawarkan bantuannya.
‘’Tak payahlah. Nanti aku sakit mata pula tengok kau dengan Adnan bermesra-mesra depan aku.Masa tu mulalah ringan mulut aku nak cakap benda-benda yang akan sakitkan hati korang.’’ Kataku selamba.
‘’Kau ni kan,tak baik tau Ary. Tahulah kan yang kau memang tak suka aku dengan Adnan. Kau tu memang benci kat aku kan.’’ Nadia membuat muka cemberutnya.
‘’Aku bukannya benci pada kau,tapi aku benci pada hubungan yang terjalin antara kau dengan Adnan.Tak kiralah kau nak puji dia sampai tinggi melangit macam mana pun,aku tetap tak yakin dengan dia. Aku harap kau faham,Nadia.’’
Nadia terdiam apabila mendengar kata-kataku. Selepas itu kami tidak membincangkan soal itu lagi. Mungkin Nadia sendiri sudah putus asa untuk membuatkan aku merestui hubungannya dengan Adnan. 

Penulis : Next update will be on Friday. Stay tuned :)

2 comments: