Saturday, 19 April 2014

PROLOG




SUASANA dalam bilik hotel Boulevard itu riuh rendah. Penuh dengan usikan dan gurau senda teman-temanku yang seramai lima orang itu. Isi kandungan perbualan mereka berkisar tentang majlis pernikahanku dan Nazrul yang akan berlangsung dalam masa beberapa jam sahaja lagi.



           Aku yang sedang duduk menghadap cermin sambil wajahku dimekap oleh jurusolek itu lebih banyak mendiamkan diri. Sesekali aku tersenyum apabila ada di antara kata-kata teman-temanku itu yang menggeletek jiwa. Dalam hati,aku rasa bagaikan tidak percaya akan semua yang terjadi ini.



       Aku tidak pernah menyangka,satu hari nanti aku akan berkahwin juga.Walhal sebelum ini, perkataan ‘kahwin’ itu pernah menjadi musuh dalam hidupku. Apatah lagi,dengan lelaki sebaik dan sesempurna Nazrul. Baik,kaya dan mempunyai latar belakang keluarga yang terhormat  serta berpengaruh. Tetapi sanggup menerima diriku yang serba kekurangan ini sebagai isterinya,tanpa mengambil peduli siapa diriku dan siapakah ibu bapaku.



           Ya,aku memang patut bersyukur.Aku patut gembira kerana ALLAH S.W.T. telah mempertemukan aku dengan jodoh yang baik. Apatah lagi,keluarga Nazrul juga sangat baik denganku dan sudah menyayangiku seperti anak mereka sendiri.



          Tapi,kenapa aku harus mempunyai perasaan macam ni,YA-ALLAH? Kenapa hatiku kini kuat mengatakan bahawa Nazrul bukannya orang yang telah ditakdirkan untukku? Dan kenapa saat detik-detik bersejarah semakin mendekati,wajah Firdaus yang semakin kerap menghantui fikiranku,bukan Nazrul? Kenapa?



          Aku mengetap bibir. Hatiku kini berada di persimpangan dilema. YA-ALLAH,bantulah aku!

No comments:

Post a Comment