‘’WOW,gempak gila result kau Ary!’’ Jerit Nadia sebaik melihat markah CGPAku.Aku
sendiri bagaikan tidak percaya apabila melihat keputusan yang terbentang di
depan mata. Tak sangka,aku boleh mendapat CGPA yang begitu tinggi,iaitu 3.87.Bahkan
markah CGPAku mengatasi Nadia yang selama ini sering mendapat keputusan yang
lebih baik daripadaku semasa kami belajar di SERATAS dulu.
‘’Kuasa Tuhan,Nadia.Aku dah berusaha,dapatlah hasil yang
setimpal.Lagipun semua ni berlaku disebabkan kau juga.Kau banyak ajar aku
benda-benda yang aku tak tau semua.Jadi benda ni bukan kejayaan aku sorang,tapi
kejayaan kau jugak,dan…’’ Aku hampir-hampir saja tersasul menyebut nama
Firdaus.
‘’Dan….????’’ Nadia bertanya dengan intonasi yang panjang.
‘’Tak ada apa-apalah.Aku tersilap cakap tadi.’’ Aku pantas berdalih.
‘’Haih,famous lah kau nanti dalam
area PASUM ni. Bukan calang-calang orang boleh jawab soalan periksa PASUM yang
memang killer habis tu.Mesti kau tak
sabar-sabar nak beritahu dia kan.’’
‘’Hah?’’ Aku mengerutkan dahi.
‘’Beritahu siapa?’’
‘’Firdaus.’’
Darahku menyirap apabila Nadia menyebut nama lelaki itu.
‘’Firdaus? Huh! Apasal aku nak kena bagitau dia pulak? Please lah!’’
‘’Hemm,yalah tu.Hari tu bukan main lagi berjanji-janji nak bagitau.Ingat
aku tak dengar ke.’’ Balas Nadia dengan senyuman penuh makna.
Aku kematian kata-kata.Tiba-tiba aku berasa malu pula.
‘’Hari tu hari tulah,hari ni hari nilah.Aku tak maksudkan apa yang aku
cakapkan masa tu okey.Jadi jangan nak memandai-mandai.’’
‘’Yalah,yalah.Aku percaya cakap kau.’’
Ujar Nadia sambil terus tersenyum-senyum.Entah kenapa, hati naluriku
mengatakan,Nadia tidak percaya akan kata-kataku.
MALAM itu,aku belajar sendirian di dalam bilik.
Nadia pula sudah lama tidur kerana katanya dia kurang sihat sedikit pada malam
itu.
Dett…dett…
Ketika aku sedang mengulangkaji pelajaranku,tiba-tiba telefon bimbitku
bergetar dalam jangka masa panjang,menandakan ada panggilan masuk.
Siapalah yang telefon aku malam-malam ni,rungutku.Aku melihat skrin
telefon bimbitku.Satu nombor yang tidak kukenali.Aku hanya membiarkan
saja.Memang aku tidak suka menjawab panggilan daripada nombor yang aku tak
kenal.
Aku menyambung pembacaanku tetapi
setelah beberapa minit,nombor itu masih tetap menghubungiku.Bagaikan tidak mahu
berhenti selagi aku tidak menjawab panggilannya.Aku mendengus.Tiba-tiba aku
terfikir,entah-entah panggilan itu adalah panggilan penting.Kalau tidak
takkanlah tak berhenti-henti macam ni. Akhirnya aku menjawab panggilan itu.
‘’Helo,siapa ni?’’
‘’Kau ni Ria eh?’’ Tanpa angin,tanpa ribut,pemanggil itu bertanya
siapakah diriku.Nada suaranya begitu kasar sekali.
Apabila nama Ria disebut,aku teringatkan Firdaus.Hanya Firdaus mengenali
aku dengan nama itu.Tetapi lelaki yang sedang bercakap denganku sekarang bukan
Firdaus. Jadi siapakah dia?
‘’Ya.Aku ni Ria.Kau ni siapa pula? Macam mana kau boleh dapat nombor
aku?’’
‘’Kau tak perlu tahu aku ni siapa.Sekarang aku nak kau buka telinga kau
luas-luas.Mulai sekarang,aku tak nak kau kacau Firdaus lagi.Kau ni tak tahu
malu ke,asyik nak kacau-kacau lelaki? Mana letaknya maruah kau sebagai
perempuan?’’ Lelaki itu berkata dengan nada suara yang tinggi.Darahku menyirap
apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Kurang ajar!
‘’Hei,kau tak ada hak nak kata aku yang bukan-bukan.Kau mempersoalkan
maruah aku,diri kau tu bagus sangat ke? Dah sempurna sangat dah,cakap kurang
ajar dengan orang macam ni? Lagipun aku cakap dengan Firdaus selama ni,ada
kacau kau ke? Ada kacau duit kau sampai nak bising-bising macam ni?’’
Jerkahku,namun nada suaraku masih dikawal agar tidak mengejutkan Nadia yang
sedang tidur di katil sebelah.
‘’Ya,memang kau kacau aku! Firdaus tu sepupu aku,kawan baik aku. Jadi
aku tak suka dia menghabiskan masa dia bersembang dengan perempuan yang entah
apa-apa macam kau ni.Tak habis-habis nak menggatal dengan lelaki macam
perempuan yang tak ada akhlak.’’
‘’Hei,kau ni memang lebih sudu daripada kuah kan! Firdaus tak kata apa
pun,kau pula yang melebih-lebih.Atau disebabkan tak ada perempuan yang nak
rapat dengan kau sebab mulut kau yang tak ada insurans tulah,kau rasa jealous dengan Firdaus.Betul tak?’’
Sinis sekali tutur kataku.
‘’Hah? Firdaus tak kata apa-apa kau cakap?’’ Lelaki itu ketawa
berdekah-dekah.Ketawa yang begitu menyakitkan hatiku.
‘’Kalau kau ingat macam tu,kau memang silaplah.Mungkin Firdaus tak
pernah beritahu kau sebab dia tak nak kecilkan hati kau,tapi sebenarnya dia
rasa menyampah sangat-sangat tahu tak bila kau dan kawan kau yang sorang lagi
tu tak berhenti-henti kacau dia.Macam orang yang tak ada life.Macam orang yang kekurangan kasih sayang,asyik nak seeking attention daripada dia.Beritahu
cerita-cerita sedih pasal keluarga kau konon-kononnya nak menagih simpati
dia.Tapi seriously,kau ingat dia
peduli ke? No way lah!
Firdaus tu baik,sebab tulah dia tak sampai hati nak bagitau kau.Tapi
memandangkan aku tak sebaik dia,jadi biar aku yang bagitau bagi pihak dia.Bagi
dia,kau ni tak lebih dari sekadar perempuan-perempuan gatal yang asyik ganggu
hidup dia selama ni,dengan harapan dapat menjadi girlfriend Tengku Firdaus Amsyar yang famous,handsome dan kaya-raya.Tapi kau jangan bermimpilah nak dapat
apa yang kau nak tu,sebab kau tak setaraf dengan kami.Kami ni dari keluarga
kerabat,sedangkan kau? Dari cara kau cakap pun aku dah tahu yang kau ni bukan
dari keluarga baik-baik.Asyik mengharapkan agar suatu hari nanti ada lelaki
kaya yang akan hadir dalam hidup kau,suap kesenangan dalam mulut kau dan mandikan
kau dengan wang ringgit.Dan aku takkan biarkan Firdaus menjadi mangsa kepada
perempuan macam kau ni.Kau tu tak layak pun nak menjadi kawan dia,apatah lagi
nak menjadi pendamping hidup dia.Jadi janganlah nak jadi macam pungguk yang
rindukan bulan,sebab akhir sekali kau juga yang akan kecewa.Sedarlah diri tu
sikit.’’
Hatiku bagai dicarik-carik apabila mendengar kata-kata lelaki itu.Mataku
mula berkaca-kaca.Benarkah apa yang dikatakan oleh lelaki itu? Adakah itu
tanggapan sebenar Firdaus terhadap diriku selama ni? Adakah curahan hati aku
selama ini hanya membebankan dirinya? Adakah segala kebaikan yang
ditunjukkannya hanya lakonan semata-mata,hanya untuk menjaga hati perempuan
yang tak tahu malu ini?
Jika itulah yang difikirkan Firdaus selama ini,aku berasa
kecewa.Betul-betul kecewa!
‘’Baiklah,aku takkan ganggu Firdaus lagi.Mulai dari detik ini,aku
berjanji aku tak akan menghubunginya lagi.’’ Balasku perlahan.Nada suaraku
mulai kendur,tidak marah-marah seperti tadi.
‘’Memang itu yang sepatutnya kau lakukan dari
awal lagi.Buktikan yang kau tu masih ada harga diri.Jangan hanya pandai
bercakap tapi tidak tahu menunaikan.Kalau aku tahu yang kau masih berhubungan
dengan Firdaus lagi…’’ Lelaki itu berkata dalam nada mengugut.
‘’Kau jangan risau.Walaupun aku ni perempuan yang tahu malu,tak ada
maruah dan hanya tahu mempergunakan lelaki untuk kesenangan diri sendiri,tetapi
aku masih tahu menunaikan janji yang
telah aku buat. Jadi kau tak perlu risau.Aku tak akan sesekali mengganggu kawan
kau tu lagi dah.Tidak akan pernah sesekali!’’ Balasku penuh emosi.
‘’Bagus. Aku dah tak nak dengar cerita pasal kau atau kawan kau lagi
lepas ni. Pesan kat kawan kau tu juga apa yang aku cakap. Aku berharap,ini akan
menjadi perbualan yang pertama dan
terakhir antara kita.Selamat tinggal,Cik Ria.’’
Klik. Talian dimatikan oleh pihak sebelah sana. Dan tanpa disedari,air
mataku mengalir kala itu juga.
‘’DASAR budak pembawa malang! Kau dengan mak
kau tu sama saja kan,tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku!’’
Kata-kata tengkingan itu kembali menyulam mimpiku.Kisah yang berlaku 10
tahun yang lalu masih terbayang-bayang dalam fikiranku.Ketika itu aku masih
budak kecil,masih tidak mengerti apa-apa.Mataku hanya terkebil-kebil memandang
anak patung permainan berpakaian warna merah jambu yang dipegang oleh sepupuku
yang muda dua tahun daripadaku itu.Anak patung itu sungguh cantik.Aku sangat
teringin hendak bermain dengan anak patung itu.
‘’Tapi Ariana suka anak patung Sarah tu.Mak cik,boleh tak tolong belikan
anak patung tu untuk Ariana?’’ Rengekku manja.Aku meminta tanpa mengenal erti malu.Tanpa mengerti bahawa
tiada langsung secubit kasih sayang orang yang kupanggil mak cik itu terhadap
diriku.
‘’Banyak cantik muka kau! Apa kau ingat anak patung ni murah? Kau ingat
aku dan laki aku cap duit ke apa? Hei,kira bagus tau aku bagi kau menumpang kat
rumah aku ni sejak mak kau yang tak guna tu lari tinggalkan kau.Entah apalah
malang yang melekat kat badan kau ni sampai mak kandung kau sendiri tak mahu
kat kau.Tak pasal-pasal aku pula yang kena bertanggungjawab.’’ Mak Cik Rohana
menjuihkan bibirnya.Masih kuingat lagi matanya ketika itu memandangku dengan
penuh kebencian.Sementara sepupuku yang bernama Sarah itu hanya
tersengih-sengih.Gembira melihat aku dimarahi oleh ibunya.
‘’Mak cik tipu! Abang Haikal cakap mak Ariana meninggal disebabkan
kemalangan.Mak tak mungkin akan tinggalkan Ariana.Mak sayangkan Ariana!’’ Kolam
mataku berkaca-kaca.Rasa sakit di dalam hatiku akibat kata-kata itu masih dapat
kurasa sehingga sekarang.
‘’Hei budak pembawa malang! Abang Haikal kau tu yang penipu,bukannya
aku.Kau kata mak kau sayangkan kau? Heh! Memang silap besarlah.Buat
pengetahuan,mak kau tu malu tau tak ada anak macam kau ni.Anak luar nikah! Anak
yang tak ada bapa.Disebabkan kaulah,dia kena hina dengan orang kampung,kena
pulau.Disebabkan kau jugalah,satu keluarga kami menanggung malu,sampai atuk kau
meninggal sebab tak tahan mendengar penghinaan orang kampung.Lepas atuk kau
mati,mak kau terus lesap dari kampung ni,tak muncul-muncul sampai
sekarang.Entah hidup ke mati mak kau tu sekarang.Entah-entah dah jadi
bangkai,jadi santapan anjing kurap!’’
‘’Mak cik tipu! Mak tak mungkin buat macam tu! Mak sayangkan Ariana!’’
Aku menjerit-jerit mempertahankan kata-kataku dengan lelehan air mata yang
membasahi pipi.
‘’Kalau kau tak percaya cakap aku,cuba kau tanya Abang Haikal,anak aku
yang kau percaya sangat tu.Cuba tanya dia,kalau mak kau tu betul-betul mati
kemalangan,mana kuburnya? Kenapa Abang Haikal tak pernah bawa kau melawat kubur
mak kau macam kita selalu pergi melawat kubur atuk? Dan kau tanya lagi,nama
bapa kau siapa? Kalau nama bapa kau lain,kenapa nama kau tu berbintikan
Abdullah? Tak macam nama Abang Haikal,berbinkan nama bapanya sendiri.Tak macam
Abang Hakim.Tak macam Sarah.Kau tengoklah,mesti dia tak akan boleh jawab punya
soalan kau.Sebab apa yang aku cakap tu semua betul!’’
Aku terdiam dan terus masuk ke dalam rumah.Petang itu,setelah Abang
Haikal pulang dari sekolah aku terus bertanya kepadanya.
‘’Abang,kubur mak kat mana? Nama bapa Ariana siapa? Kenapa Ariana tak
pernah jumpa dia?’’ Baru saja Abang Haikal mahu menanggalkan tali kasutnya,aku
terus menerpanya dengan pelbagai soalan.Masih jelas lagi di ingatanku Abang
Haikal kelihatan terkejut sekali.Dia menghentikan apa yang dibuatnya dan
menoleh pandang ke arahku.
‘’Kenapa Ariana tiba-tiba tanya semua ni
kat abang? Selama ni Ariana tak pernah tanya pun.’’ Soal Abang Haikal lembut.
‘’Mak cik yang suruh tanya.Dia kata kalau Abang Haikal tak boleh
jawab,maksudnya selama ni Abang Haikal cakap bohong.Mak Ariana sebenarnya tak
mati lagi,tapi dia tinggalkan Ariana sebab dia tak sayangkan Ariana.Sebab
Ariana ni anak luar nikah.Ariana yang sebabkan kematian atuk.Betul ke semua tu
abang?’’ Petah sekali mulutku berkata-kata.Wajah Abang Haikal berubah saat mendengar
apa yang aku cakapkan. Tanpa menjawab pertanyaanku,Abang Haikal terus
menanggalkan kasut dan masuk ke biliknya,meninggalkan aku terpinga-pinga
sendirian.
Malam itu,Abang Haikal tidak keluar untuk makan.Tiga kali aku
memanggilnya,tetapi Abang Haikal tetap mendiamkan diri.Mak cik dan pak cik juga
tidak berkata apa-apa,seakan-akan mereka sudah menjangka Abang Haikal akan
bertindak sedemikian.
Selepas selesai makan,aku terus masuk tidur.Dan tidak berapa lama
kemudian,aku terjaga apabila mendengar suara orang bertengkar dari ruang
tamu.Suara Abang Haikal dan mak cik.Aku terus membuka pintu bilikku.Dapat
kulihat wajah Abang Haikal yang begitu marah sekali.Tidak pernah aku melihat
Abang Haikal mempamerkan ekspresi wajah sebegitu.
‘’Kenapa dengan mak ni hah?
Sanggup mak suruh Ariana tanya soalan-soalan macam tu kat Haikal.Apa yang
Haikal nak jawab dengan dia mak? Apa?!’’ Suara Abang Haikal yang meninggi itu
membuatkan aku kecut perut mendengarnya.
‘’Kamu jangan nak kurang ajar dengan mak,Haikal! Jangan kerana budak
pembawa malang tu,kamu pula yang jadi anak derhaka.Mak tak rasa apa yang mak
buat tu salah.Mak cuma nak dia tahu kebenaran,supaya dia sedar sikit diri dia
tu siapa.Kerana dia dan mak dialah,nasab keturunan kita tercemar tahu tak! Mana
mak nak letak muka mak ni.Sampai sekarang ni orang kampung asyik mengata
kita sebab budak tu tinggal dengan kita
tahu tak.’’
‘’Pedulikanlah apa pun yang orang kampung nak cakap mak! Ariana tu masih
kecil lagi,masih tak tahu apa-apa.Seharusnya kita jaga dan didik dia dengan
penuh kasih sayang,bukannya layan dia macam sampah kat dalam rumah ni.Lagipun
bukan dia yang diminta dilahirkan dalam keadaan macam ni,mak.Semua ni salah mak
ayah dia,bukannya Ariana.Jadi kenapa Ariana pula yang kena menanggung kesalahan
mak ayah dia? Kenapa Ariana pula yang menjadi mangsa kemarahan mak disebabkan
apa yang berlaku terhadap keluarga kita? Ini tak adil,mak.Memang tak adil!’’
Pang! Tamparan itu hingap di pipi Abang Haikal.Kuat sekali
bunyinya.Abang Haikal menggosok-gosok pipinya yang mulai merah itu seraya
memandang kembali mak cik yang sedang merenungnya bagai singa betina yang
kelaparan.
‘’Kau jangan nak mengajar aku,Haikal! Aku ni mak kau tau.Mak kau! Seharusnya
kau beradab dengan aku. Bukannya jadi biadab macam ni semata-mata nak bela
sepupu malang kau tu. Jaga sikit
kata-kata kau,Haikal.Jangan sampai kau dilaknat ALLAH S.W.T kerana kelancangan
mulut kau kepada mak yang telah bertarung nyawa melahirkan kau ni!’’
‘’Ariana bukan pembawa malang,mak.Setiap manusia yang dilahirkan ke
dunia ni umpama kain putih,bersih daripada dosa dan noda.Tiada istilah malang
atau tuah yang mengiringi kelahiran mereka.Semua manusia dilahirkan sama
saja,mak.Dan Haikal berharap,suatu hari nanti mak akan sedar akan kebenaran
kata-kata Haikal ni.’’ Setelah berkata demikian,Abang Haikal menuju ke
biliknya.Dan sebelum masuk,Abang Haikal sempat lagi berkata.
‘’Maafkan Haikal jika mak anggap Haikal ni sebagai anak derhaka.Tapi
percayalah,Haikal buat semua ni pun sebab Haikal sayangkan mak.Haikal tak nak
mak terus berbuat dosa dengan terus menindas Ariana dan menuduhnya yang
bukan-bukan.Kita seharusnya melindungi dia,bukannya menambahkan lagi
bebannya.’’
Mak cik hanya mengetap bibir apabila mendengar kata-kata Abang
Haikal.Aku menutup pintu bilikku kembali.Dan ketika itu hati kecilku sudah
dapat merasakan,bahawa mak cik memang bercakap benar.Aku ini memang anak luar
nikah. Anak tak sah taraf yang tidak mahu diakui oleh ibu bapa kandungnya
sendiri.
Sejak hari itu,aku sudah banyak berubah.Aku lebih banyak berdiam diri
dan tidak mahu bergaul dengan sesiapa pun.Suaraku ini bagaikan emas,susah
sekali untuk didengari walaupun oleh orang yang tinggal satu rumah denganku.Aku
jarang sekali berbual dengan sesiapa pun
kecuali Abang Haikal.Abang Haikal banyak memberikan semangat padaku,dan dia
jugalah yang memberi aku keyakinan untuk terus menghadapi cabaran di dunia
ini,walaupun sebagai manusia yang sikapnya dibenci oleh kebanyakan orang.
Pendiam,tak suka bergaul, lebih suka menyendiri.Itulah diriku.Tetapi aku
gembira,kerana dengan cara ini aku dapat mengelakkan diriku dari disakiti
sekali lagi oleh orang-orang yang aku sayangi.Biarlah aku dibenci.Biarlah aku
dipulau.Biarlah aku dianggap apa pun.Aku tidak kisah.Asalkan hatiku tidak
disakiti lagi,itu sudah memadai bagiku.
Tapi hanya disebabkan satu panggilan,segala-galanya berubah.Hatiku
sekali lagi disakiti.Diriku sekali lagi dihina dengan pelbagai cercaan dan
hinaan,bagaikan aku ini adalah manusia yang paling teruk dalam dunia ini.Yang
paling teruk sekali,jiwaku bagai dicarik-carik apabila diberitahu tentang
tanggapan Firdaus yang sebenarnya terhadap diriku.Ternyata selama ini dia tak
ikhlas berkawan denganku,dan semua yang aku luahkan selama ini hanya
menyusahkan dirinya.Kepercayaanku terhadapnya selama ini punah dalam sekelip
mata.
‘’Aku bencikan kau,Firdaus.Aku benci kau sangat-sangat.
Tanpa disedari,aku mengungkapkan ayat ini dalam tidurku.Berulang-ulang.
No comments:
Post a Comment